Rabu, 26 April 2017 | 11:30pm

Pahang akur seri 1-1 berdepan FELDA United


PEMAIN Pahang, Mohd Ashari Shamsuddin dikawal pemain FELDA United, Mootaz Bellah El Jaounaidi (tengah) dan Mohd Alif Yusuf dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Skuad Pahang gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan FELDA United FC di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Kegagalan skuad kendalian Dollah Salleh itu sudah dijangka berdasarkan prestasi kurang meyakinkan dipersembahkan terutama jentera serangan yang kurang berbisa.

Pada perlawanan itu, aksi hambar dipersembahkan kedua-dua pasukan yang gagal mengatur gerakan berbahaya ke kubu lawan masing-masing.

Namun, sebaik Pahang menjaringkan gol pendahuluan menerusi Matheus Alves pada minit ke-19, perlawanan dilihat lebih bertenaga apabila pelawat mula melancarkan serangan.

Jaringan Alves berpunca daripada hantaran Ahmad Syamim Yahya dan pemain import kelahiran Brazil itu menanduk kemas sekali gus menewaskan penjaga gol FELDA United, Mohd Faizal Harun.

Tersentak jaringan itu, skuad kendalian B Sathianathan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Stuart James Wilson yang mengecewakan penjaga gol skuad Tok Gajah, Wan Azraei Wan Teh pada minit ke-23.

Pada minit ke-28, penyerang import tuan rumah, Mohamadou Sumareh hampir menambah gol kedua buat pasukannya tetapi dinafikan apabila bola terkena tiang gol dan keputusan 1-1 kekal pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan berusaha untuk mendapatkan gol kedua tetapi persembahan kurang meyakinkan menafikan jaringan dihasilkan.

Berita Harian X