Rabu, 26 April 2017 | 11:48am

MPPG peruntuk RM3 juta sedia Bas Muafakat Johor


HASRIN Kamal Hashim (tiga dari kiri) menyempurnakan perasmian Laluan Baharu Bas Muafakat Johor di Terminal Bas Pasir Gudang, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) memperuntukkan RM3 juta setahun untuk perkhidmatan bas percuma, Bas Muafakat Johor.

Yang Dipertuanya, Hasrin Kamal Hashim, berkata inisiatif yang diperkenalkan sejak April tahun lalu itu bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus memanfaat kelengkapan keselamatan termasuk sistem penentu kedudukan global (GPS), kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem data pengguna.

Katanya, sehingga kini, MPPG menyediakan enam bas bagi kegunaan masyarakat setempat yang membabitkan enam laluan berbeza ke destinasi tertentu.

"Bas Muafakat Johor menjadi antara platform bagi membantu masyarakat yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, selain memudahkan mereka mendapat perkhidmatan awam khasnya buat rakyat tempatan.

"Sejak ia diperkenalkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan iaitu kira-kira 30,000 pengguna bagi tempoh sebulan, selain anggaran 1,500 pengguna terutama pelajar yang menggunakan perkhidmatan ini secara harian.

"Menerusi perkhidmatan ini, secara tidak langsung ia menggalakkan lagi penggunaan sistem pengangkutan awam, selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Laluan Baharu Bas Muafakat Johor di Terminal Bas Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, MPPG menyediakan perkhidmatan bas di laluan baharu membabitkan bas P-311 iaitu laluan dari Terminal Pasir Gudang ke JB Sentral, P-312 (ke Terminal Bas Masai) dan P-313 (ke Kampung Felda Sungai Tiram).

Hasrin berkata, laluan berkenaan adalah penambahan perkhidmatan kepada laluan sedia ada iaitu P-301 dari Terminal Pasir Gudang ke Plentong, P-302 (ke Taman Desa Rakyat) dan P-303 (ke Taman Kota Masai).

"Sehingga kini, lebih 10,000 pengguna di kawasan MPPG memiliki Kad Muafakat Johor bagi membolehkan mereka khususnya warga tempatan menaiki bas berkenaan secara percuma," katanya.

Berita Harian X