Selasa, 25 April 2017 | 7:00pm

Latihan industri tingkat kebolehpasaran graduan


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Program menimba pengalaman industri selama setahun hingga dua tahun akan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, berkata program pembelajaran akademik dua tahun dan pengalaman industri dua tahun (2u2i) serta program pembelajaran akademik dua tahun dan pengalaman industri setahun (2u1i), yang dilaksanakan oleh universiti awam (UA) mendapat maklum balas positif pihak industri.

Katanya, UA juga boleh melaksanakan program akademik tiga tahun dan pengalaman industri setahun (3u1i), bergantung pada kesesuaian, termasuk permintaan pihak industri.

"Dalam konteks ini, UA diminta bekerjasama dengan pihak industri bagi mengenal pasti bidang berpotensi untuk melaksanakan program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Program Pembelajaran Berasaskan Kerja bagi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) serta Fakukti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Pada majlis sama, FKPM dan FiTA menandatangani memorandum persefahaman bersama 21 wakil industri bagi program 2u1i.

UiTM adalah universiti pertama di negara ini yang melaksanakan program 2u1i, membabitkan 11 program pengajian, mulai September ini.

Berita Harian X