Selasa, 25 April 2017 | 2:07pm

PU Sendayan tak babit perpindahan sekolah penerbangan


PANGLIMA Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang memeriksa perbarisan pada majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 78/15 dan Siri 57/16 di padang kawad , Kolej Tentera Udara, Kepala Batas. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kira-kira 70 peratus skop operasi membabitkan latihan dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dilaksanakan di Pangkalan Udara (PU) Sendayan di Negeri Sembilan apabila ia siap hujung tahun ini.

Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Affendi Buang, berkata PU Sendayan yang bakal menjadi pusat sehenti akan menempatkan latihan bagi logistik, urus tadbir, Polis Tentera Udara (PROVOS) dan kepimpinan dengan kemudahan infrastruktur baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perpindahan itu sama sekali tidak membabitkan Sekolah Asas Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU) dekat sini dan Pusat Latihan Rekrut TUDM di Ipoh, Perak.

"PU Sendayan kita buat sebagai pusat latihan bersifat integrasi kerana kita sudah ada di Alor Setar yang memiliki ruang udara dan kawasan latihan yang besar.

"Di Sendayan tak boleh untuk latihan penerbangan, cuma kita gunakan untuk latihan lain seperti logistik, tadbir dan beberapa seksyen lain dalam TUDM, selain digunakan untuk latihan maju bagi pegawai dan anggota dalam proses meningkatkan kerjaya mereka.

"Uniknya di Sendayan ini sebab ia adalah fasiliti baharu, peralatan dan infrastruktur yang ada di situ sesuai untuk menjalani latihan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pemakaian Sayap Penerbangan TUDM di KTU, dekat sini, sebentar tadi.

Pada upacara itu, seramai 18 Pegawai Muda TUDM menamatkan Kursus Asas Penerbangan siri 78/15, manakala 13 lagi menamatkan Kursus Asas Peralihan Helikopter siri 57/16.

PU Sendayan yang dibina di atas kawasan seluas 303.5 hektar akan menghimpunkan semua tiga pusat latihan TUDM di Subang, Kinrara dan Pulau Pinang.

Berita Harian X