Selasa, 25 April 2017 | 1:25pm

Piala Asia: FAM, Kementerian Luar perlu buat keputusan


KHAIRY menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penajaan antara Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Mcdonald's Malaysia, Azmir Jaafar (empat dari kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua dari kanan) semasa majlis penajaan perak di McDonald's Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Luar untuk memutuskan sama ada akan menghantar skuad Harimau Malaya ke Korea Utara bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019, Jun ini, atau sebaliknya.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya bertindak sebagai pengantara bagi situasi berkenaan, namun keputusan mengenai penilaian diplomatik perlu dilakukan oleh kementerian bertanggungjawab.

"Saya serah kepada FAM untuk bincang dengan Kementerian Luar. Ini keputusan yang perlu dibuat oleh FAM dengan Kementerian Luar," kata Khairy ketika ditemui pada Majlis menandatangani penajaan Sukan SEA 2017 di sini, hari ini.

"Saya sudah jadi pengantara tetapi keputusan penilaian diplomatik yang perlu dibuat oleh Kementerian Luar," katanya

Ketika ini, FAM bertegas untuk tidak menghantar skuad negara berkunjung ke Pyongyang bagi aksi Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini walaupun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) menolak permohonan beraksi di gelanggang berkecuali.

PRKFA membuat keputusan untuk tidak mengemukakan cadangan venue berkecuali sebelum ini, sebaliknya menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mengekalkan Pyongyang sebagai venue perlawanan pertama itu dengan jaminan keselamatan.

Minggu lalu, AFC menghantar surat kepada FAM untuk mengetahui status terkini hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara sebelum ia dirujuk kepada Kementerian Luar dan KBS.

Begitupun, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama dua Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal sepakat untuk tidak bermain di Pyongyang.

Isu mengenai venue perlawanan timbul susulan ketegangan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara hingga menyebabkan perlawanan kedua-dua negara yang awalnya dijadual pada 28 Mac lalu, ditunda kepada 8 Jun.

AFC sebelum ini mengumumkan akan memutuskan venue perlawanan itu pada 8 Mei depan dan jika hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara kembali pulih, Pyongyang bakal kembali menjadi venue perlawanan.

Berita Harian X