Selasa, 25 April 2017 | 1:16pm

Rangka manusia Neolitik dibawa ke USM hari ini


EMPAT remaja yang sesat sejak semalam berjaya ditemui dalam operasi menyelamat yang dijalankan pagi tadi di Hutan Simpan Bukit Soga, Batu Pahat. - Foto Ihsan Bomba

KEPALA BATAS: Rangka manusia Neolitik berusia sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun yang ditemui di Tapak Arkeologi Guar Kepah dijangka dibawa pulang ke Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), petang ini.

Pengarah pusat itu, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata pihaknya memerlukan masa antara tiga ke empat jam lagi untuk menggali, mengurus dan mengeluarkan tulang rangka berkenaan supaya berada dalam kedudukan sempurna sebelum dibawa balik dan disimpan di tempat yang lebih baik.

Beliau berkata, rangka yang ditemui hampir seminggu lalu itu, perlu dipindahkan segera memandangkan keadaan tanah yang membolehkan ia mudah reput.

"Terdapat beberapa tulang yang sudah reput ditemui pada rangka itu dan memaksa kita menyegerakan proses penghantaran balik ke pusat penyelidikan supaya rangka ini dapat diawet kemudian dipertontonkan kepada umum selepas galeri arkeologi di sini siap pada akhir tahun ini," katanya pada sidang media di Tapak Arkeologi Guar Kepah, di sini, hari ini.

Minggu lalu, sekumpulan penyelidik USM yang membuat kerja-kerja ekskavasi menemui rangka manusia Neolitik dalam keadaan tangan diikat ke dada dan diletakkan mengiring di bahagian kanan sebelum ditanam bersama tembikar serta peralatan memburu seiring dengan adat masyarakat purba.

Penemuan itu menjadikan kawasan berkenaan dipercayai menjadi penempatan terawal manusia di Seberang Prai.

Mokhtar berkata, beliau akan terus menjalankan kerja-kerja pencarian rangka manusia lain yang dipercayai masih berada di kawasan tapak berkenaan sekali gus mencipta sejarah penting di negara ini.

Berita Harian X