Selasa, 6 Januari 2015 | 6:22pm

Polis serah kepada Timbalan Pendakwa Raya berkaitan kes buli

BUKIT KAYU HITAM: Polis Kedah menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan status kes buli yang berlaku di sebuah sekolah rendah di negeri ini yang tersebar sehingga menjadi viral di Facebook dan Youtube.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata siasatan mengenai kes terbabit sehingga kini dianggap selesai selepas keterangan semua individu yang terbabit dalam video klip itu diambil.

"Kita sudah panggil semua pelajar yang terbabit dan keterangan mereka juga sudah diambil... kita anggap siasatan kes ini sudah selesai.

"Buat masa sekarang, kertas siasatan sudah lengkap dan kita juga sudah serahkannya kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya)... sekarang terpulang kepada mereka untuk tentukan status termasuk untuk pertimbangkan pendakwaan," katanya ketika ditemui di sini.

Ditanya mengenai motif polis menjalankan siasatan terhadap kes itu walaupun keluarga mangsa tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang, beliau berkata itu sudah menjadi tugas polis.

"Kita tidak boleh memandang ringan kes buli di sekolah walaupun mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal, " katanya.

Sebelum ini, klip video buli murid sekolah yang berdurasi seminit 51 saat itu mula menjadi viral di Facebook dan Youtube sejak Jumaat.

Rentetan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

12 dibaca
Berita Harian X