Isnin, 24 April 2017 | 4:36pm

Ibu, anak maut nahas di LPT2

KEADAAN kereta Proton Saga BLM yang ternabit dalam kemalangan di Kilometer 264.1, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Perasing yang mengorbankan dua beranak. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Seorang ibu bersama anak lelakinya berusia tiga tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 264.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Perasing, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Fatimah Al Zahrah Zainol Abidin, 32, dan anaknya, Al Fateh Mohd Shahrulnizam, maut di tempat kejadian dalam kemalangan itu jam 1.15 tengah hari. 

Suami mangsa, Mohd Shahrulnizam Alias, 32, yang memandu kereta Proton Saga cedera ringan manakala seorang lagi anak mereka, Al Faris Mohd Shahrulnizam, enam tahun patah peha dan kaki kiri.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Shahrulnizam dari arah Kuala Terengganu terbabas sebelum merempuh penghadang jalan. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

"Mayat kedua-dua beranak itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya. 

Berita Harian X