Isnin, 24 April 2017 | 3:52pm

Tangan diikat ke dada, ditimbus kulit kerang


ANTARA barangan yang dirampas hasil serbuan di lapan pejabat dan unit kediaman yang dijadikan pusat operasi skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di Pulau Pinang, semalam. - Foto Ihsan PDRM

KEPALA BATAS: Tangan mayat diikat ke dada dan diletakkan dalam keadaan mengiring ke kanan, sebelum ditanam bersama tembikar serta peralatan memburu seiring dengan adat masyarakat purba sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun dahulu.

Itu antara rumusan mengenai kedudukan rangka manusia Neolitik yang ditemui di Tapak Arkeologi Guar Kepah, dekat sini, yang dipercayai kawasan penempatan terawal manusia di Seberang Prai.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata tembikar serta alat pemburuan ditanam bersama mayat kerana komuniti terbabit mempercayai ada kehidupan di alam lain.

Beliau berkata, cara pengebumian manusia purba di Guar Kepah juga dikatakan hampir sama dengan cara diamalkan komuniti di pulau Sumatera, Indonesia sekitar 5,000 tahun iaitu mayat ditimbus dengan kulit kerang.

"Rangka yang ditemui di Guar Kepah dipercayai dari mayat yang ditanam mengikut adat masyarakat purba iaitu tangan mayat diikat dan diletakkan pada posisi kanan sebelum ditambun dengan kulit kerang atau kepah.

"Tembikar serta alat pemburuan turut dikebumikan bersama mayat sebelum ditambun dengan kulit kerang (kepah) setinggi enam meter," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rangka yang ditemui di tapak C itu adalah yang ke-10 selepas sembilan rangka ditemui pengkaji Inggeris di tapak sama pada 1860 dan kini ditempatkan di Leiden, Belanda.

Menurut Mokhtar, sebelum ini pihaknya menemui peralatan memburu serta tembikar ketika kajian dijalankan di tapak C pada 2010 manakala tapak A dan B sudah musnah.

Pada 19 April lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri sangat teruja dengan penemuan baharu itu kerana mendakwa tapak itu lebih tua daripada tapak arkeologi Lembah Bujang, Kedah.

Rangka manusia Neolitik terdiri daripada satu tengkorak, tulang paha dan tulang rusuk itu ditemui ketika proses kerja penanaman cerucuk untuk pembinaan galeri neolitik baharu di tapak itu, oleh ahli arkeologi USM yang diketuai Mokhtar.

209 dibaca
Berita Harian X