Isnin, 24 April 2017 | 1:47pm

Reman 18 lelaki disyaki Geng 24 disambung


SEBAHAGIAN daripada 18 individu termasuk 13 pelajar sekolah menengah yang disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 keluar daripada mahkamah selepas pihak mahkamah membenarkan tempoh lanjutan reman tiga hari di Mahkamah Majistret Klang. - Foto Faiz Anuar

KLANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan lanjutan tiga hari reman, bermula esok terhadap 18 individu termasuk 13 pelajar yang disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 di sekitar bandar ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Asma Ahmad, kira-kira jam 11 pagi.

Perkara itu dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam yang mewakili semua suspek, Gerrard Lazarus dan Dinesh Muthal di luar perkarangan mahkamah. 

Mereka ditahan sebaik klip video yang dikatakan memaparkan majlis keraian kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah sekolah menengah di Klang oleh sekumpulan individu, termasuk yang memakai seragam persekolahan, tersebar di media sosial.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia antara 16 hingga 25 tahun itu, ditahan dalam operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor, bermula malam Khamis hingga awal pagi Jumaat lalu.

Katanya, semua individu itu termasuk lima lelaki dewasa terdiri daripada pengawal keselamatan dan mekanik serta pelajar kolej, ditahan berikutan dipercayai terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Berita Harian X