Isnin, 24 April 2017 | 7:00am

Trend kain pucci di Fiesta Muslimah BH


ANTARA produk jubah dan baju kurung moden kain pucci dijual pada Fiesta Muslimah BH 2017.- Foto Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi dan trend terkini kain pucci memberi idea kepada pengusaha pakaian, Saripah Yakub tampil kelainan menghasilkan koleksi rekaan berinspirasikan corak itu, pada Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), awal bulan depan.

Katanya, koleksi itu yang didatangkan dalam rekaan jubah dan baju kurung moden, dijangka menggamit penggemar fesyen pada karnival beli-belah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 2 hingga 4 Jun depan.

Kebiasaannya jubah menggunakan kain polos, tetapi beliau mahukan trend kain pucci dengan corak bunga-bunga.

"Kedua-dua baju ini menjadi pilihan kerana ia sentiasa mendapat permintaan tinggi untuk dipakai ketika musim perayaan. Jadi sekurang-kurangnya saya memberi kelainan kepada wanita yang benar-benar ingin kelihatan berbeza dan tampak lebih anggun.

"Selain itu, demi memastikan apa yang saya tawarkan itu tidak ketinggalan, saya menggunakan kain pucci dengan corak dan rekaan baharu iaitu bunga-bungaan," katanya kepada BH.

Jenama Zafarisha Boutique and Tailoring milik Sarifah antara vendor yang menyertai FMBH'17 sejajar dengan objektif BH untuk menyemarakkan industri fesyen Muslimah tempatan.


PEMILIK Zafarisha Boutique and Tailoring, Saripah Yakub.

Jadi batu loncatan

Saripah berkata, sebelum ini kain pucci tampil dengan corak abstrak dan geometri, tetapi apabila corak bunga-bungaan ini dihasilkan secara tidak langsung wanita tampak lebih bergaya, cantik dan menarik.

"Corak bunga-bungaan ini memang kena dengan jiwa dan personaliti wanita itu sendiri. Rekaannya masih baharu dan pasti memberi kepuasan kepada wanita pada pagi Aidilfitri nanti," katanya.

Baru setahun berjinak dalam bidang jahitan ini, beliau teruja menyertai FMBH'17 yang disifatkan sebagai batu loncatan untuknya memperkenalkan produk baharu kepada orang ramai.

"Demi memastikan pelanggan saya puas, saya menghasilkan sendiri baju ini. Apa yang saya rasakan cantik, saya jahit kerana yakin wanita juga mempunyai keinginan yang sama.

"Kebanyakan koleksi baju yang saya jahit menggunakan warna terang khusus juga untuk menarik wanita muda memakai jubah.

"Ramai memberi maklum balas positif dengan mencadangkan supaya menghasilkan warna lebih terang," katanya.


ANTARA produk jubah dan baju kurung moden kain pucci dijual pada Fiesta Muslimah BH 2017- Foto Ihsan Pembaca

Buatan tangan

Saripah berkata, selain jubah kain pucci, beliau juga menghasilkan jubah menggunakan kain geogertte dengan hiasan renda yang bertumpu pada lengan baju.

"Saya berharap jubah dan baju kurung yang saya hasilkan 100 peratus buatan tangan ini mampu memberi kepuasan kepada pengunjung ke FMBH'17 nanti.

"Kainnya selesa dan sejuk dipakai. Harga yang saya tawarkan juga berpatutan dan saiznya bermula S hingga XXXL," katanya.

Impak positif

Beliau berharap penyertaan kali pertamanya di FMBH'17 ini dapat memberi impak positif dalam perniagaan yang diusahakan ini, lebih-lebih lagi ketika orang ramai sedang sibuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

"Saya harap jenama saya akan dikenali ramai sama seperti jenama-jenama terkenal lain," katanya.

Kali pertama FMBH diadakan di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015), lebih 25,000 orang.

Sementara itu, tempahan jualan gerai FMBH'17 sudah dibuka.

INFO

Fiesta Muslimah BH 2017

  • Berkonsepkan pasar lokal.
  • Menyediakan 130 gerai jualan pelbagai produk khususnya fesyen Muslimah.
  • Untuk maklumat lanjut hubungi Hani dan Lisa, 014-6639447, 013-2112591, 018-2742140 dan 012-6088968

    * emel : shuelliscomm@gmail.com

45 dibaca
Berita Harian X