Ahad, 23 April 2017 | 4:14pm

Kota Belud bakal ada institut kemahiran


DATUK Seri Abdul Rahman Dahlan menyampaikan cenderahati kepada seorang ikon Kota Belud Mohd Sirhajwan Idek selepas majlis Santai Anak Muda Bersama RD di Dewan Datuk Musbah Kampung Taun Gusi hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BELUD: Sebuah institut kemahiran berskala besar dicadangkan diwujudkan di daerah ini bagi memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ini kerana tiada pusat kemahiran atau institut pengajian tinggi (IPT) di daerah berkenaan berbanding daerah lain, setakat ini.

"Setakat ini, Kota Belud belum ada IPT seperti kolej komuniti atau politeknik, selain pusat giat mara, sekali gus kita masih ketinggalan berbanding daerah lain.

"Oleh itu saya mencadangkan kepada kerajaan agar satu pusat kemahiran berskala besar diwujudkan di Kota Belud sejajar dengan permintaan belia di daerah ini. Saya akan kemukakan cadangan ini kepada kerajaan Persekutuan untuk diperhalusi," katanya dalam sidang media selepas hadir Program Santai Anak Muda bersama beliau di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli dan dua ikon anak muda berasal dari Kota Belud masing-masing dalam bidang pendidikan dan sukan permotoran iaitu Mohd Sirhajwan Idek serta Gui Foo Sing.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata cadangan membina pusat kemahiran itu bukan hanya membabitkan institusi seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) tetapi juga institut lain termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata Sabah sudah bersiap sedia melaksanakan sekolah kerajaan aliran Inggeris bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar di negeri ini.

"Bahasa Inggeris amat penting dan ia perlu dilaksanakan bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung.

"Saya juga sudah memaklumkan mengenai hasrat ini kepada pemimpin negeri dan negara, parti komponen Barisan Nasional (BN) serta badan bukan kerajaan (NGO). Mereka memberi reaksi yang positif," katanya.

Katanya, usaha itu (sekolah kerajaan aliran Inggeris) akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak terlebih dahulu.

"Ini kerana masih ada tentangan dari negeri lain, justeru dalam mereka tidak menyokong, biar kita di Sabah dan Sarawak memulakan usaha ini.

"Kita bukan bermaksud membelakangkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kita tidak boleh menolak fakta bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah amat penting agar Sabah lebih maju dan dapat bersaing dengan negeri lain," katanya.

Abdul Rahman berkata, sebagai permulaan, beberapa sekolah akan dipilih sebagai perintis antaranya Maktab Sabah dan Sekolah Menengah (SM) La Salle di Kota Kinabalu.

Berita Harian X