Selasa, 6 Januari 2015 | 3:46pm
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak mengangkat barangan keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur melalui pasukan sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan UUM untuk mangsa banjir. - Foto ihsan UUM

Sukarelawan universiti Kedah bantu misi banjir di Kelantan

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak (kanan) melepaskan peserta Misi Bantuan Kemanusiaan UUM untuk mangsa banjir di Pantai Timur. -Foto hsan UUM

ALOR SETAR: Sebanyak 216 sukarelawan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kedah, Majlis Mahasiswa Negeri Kedah dan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia digerak bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, hari ini.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata rombongan sukarelawan itu akan bergerak ke Machang selama empat hari untuk membersihkan sekolah dan prasarana yang rosak akibat banjir.

"UUM telah ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan untuk membantu mangsa banjir di kawasan Machang dan kami akan membersihkan Sekolah Kebangsaan Bandar Machang.

"Selain kerja-kerja pembersihan, kami juga ingin membantu penduduk-penduduk di sana bagi membina semula kehidupan mereka," katanya selepas melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir di sini.

Kesemua sukarelawan menggunakan enam buah bas, sebuah lori, sebuah kenderaan serba guna dan beberapa kenderaan pacuan empat roda (4x4) dengan membawa barangan bantuan mangsa banjir ke negeri itu.

Beliau berkata pihak UUM turut menghantar kakitangannya daripada unit Pembangunan dan Penyenggaraan bagi membantu membaiki kerosakan kecil pada peralatan sekolah.

Selain itu katanya, 10 pakar kaunseling yang terdiri daripada pensyarah UUM akan membantu memberi semangat kepada mangsa banjir terutamanya kanak-kanak.

Beliau berharap dengan bantuan yang dihulurkan ini dapat mengurangkan bebanan mangsa banjir dan membantu membangunkan semula beberapa kawasan di Kelantan.

Katanya rombongan bantuan bagi fasa kedua yang akan disertai oleh 100 kakitangan UUM dan 400 pelajar akan bergerak ke Kelantan pada 16 Januari ini bagi membantu operasi pasca banjir di sana.

- BERNAMA

Berita Harian X