Ahad, 23 April 2017 | 8:16am

Terengganu sertai 'Travel Malaysia Fair' Singapura


YANG Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong (tujuh dari kanan) bersama delegasi pelancongan Terengganu di 'Travel Malaysia Fair' 2017 di Changi, Singapura. - Foto Ihsan JPNT

KUALA TERENGGANU: Sembilan pengusaha hotel, seorang pemilik produk dan enam usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dari Terengganu menyertai 'Travel Malaysia Fair' 2017 di Changi, Singapura, bermula semalam.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata festival tiga hari itu turut membabitkan penari dan pemuzik dari Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Terengganu (SUKTRA).

Mereka terbabit bagi persembahan kebudayaan negeri seperti tarian Ulek Serkap, Zapin Terengganu dan Ulek Mayang serta lagu daerah seperti Nasi Dagang dan Kain Songket.

Beliau berkata, penyertaan itu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan di Terengganu dan pelbagai pakej yang dibuat khas untuk warga Singapura.

"Kali ini, pihak Tourism Terengganu membawa sembilan pengusaha hotel dan satu pemilik produk serta enam usahawan PKS, selain kumpulan SUKTRA ke Singapura bagi merancakkan promosi Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017).

"Penyertaan Terengganu kali ini bukan saja mempromosikan produk tetapi juga mengadakan perbincangan perniagaan (B2B) dengan agensi pelancongan Singapura.

"Kita juga mengadakan taklimat khas mengenai VBT2017 kepada agensi pelancongan Singapura dan media," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perasmian 'Travel Malaysia Fair' 2017 di Changi, Singapura dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Timbalan Pesuruhjaya Malaysia ke Singapura, Nur Azman Abdul Rahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin, turut hadir.

Negeri lain yang menyertai festival itu ialah Kedah, Melaka, Pahang dan Johor.

Mohd Zubir turut melancarkan pakej Warisan Islam Terengganu, selain mengedarkan nasi dagang beku kepada jemputan dan media.

Berita Harian X