Sabtu, 22 April 2017 | 12:46pm

Piala FA: JDT janji pamer aksi lebih agresif


Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Defisit dua gol tidak sedikit pun menjejaskan semangat Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjanjikan kebangkitan apabila berdepan Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Walaupun skuad kendalian Benjamin Mora tewas 1-3 kepada anak didik Dollah Salleh, pengendali dari Mexico itu tidak mahu barisan pemainnya terlalu memikirkan keputusan pada aksi suku akhir pertama sebelum ini.

Sebaliknya, Mora menganggap keputusan masih 0-0 dan berbaki 90 minit lagi serta menjanjikan JDT akan tampil dengan corak permainan dan strategi lebih agresif bagi memburu kemenangan di laman sendiri.

"Pertembungan ini amat penting dan pastinya kami inginkan kemenangan walaupun tewas 1-3 pada aksi suku akhir pertama. Itu bukan alasan untuk kami bangkit dengan persembahan lebih bertenaga.

"Ia soal perlawanan hidup dan mati buat JDT. Setiap pemain perlu beraksi 120 peratus dan mengikut strategi serta taktikal yang dibentuk. Mereka harus tampil lebih garang pada setiap posisi, tidak kira pertahanan, tengah dan serangan, semuanya harus mantap.

"Rekod pertembungan JDT dan Pahang seimbang. Kami menang 3-2 di Larkin (Liga Super) dan mereka menang 3-1 (Piala FA). Saya jangkakan ia perlawanan menarik dengan corak permainan taktikal," katanya.

Mora yakin benteng pertahanan skuad Harimau Selatan yang diterajui Marcos Antonio mampu menidakkan usaha skuad Tok Gajah untuk menambah gol sambil menaruh sandaran buat barisan serangan memburu gol pada awal permainan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan pemain JDT supaya berwaspada dengan corak permainan Pahang yang gemar memerangkap lawan menerusi umpanan jauh serta mengawasi kelicikan Mohamadou Sumareh dan Wan Zaharulnizam Zakaria.

"Apa pun saya amat lega kerana Ahmad Hazwan Bakri yang agak lama tidak diturunkan akibat kecederaan tampak semakin pulih.

"Beberapa pemain yang tidak diturunkan pada aksi Piala AFC juga sudah bersedia memberikan persembahan terbaik mereka," kata Mora.

136 dibaca
Berita Harian X