Selasa, 6 Januari 2015 | 2:01pm
Finalis Program Gegar Vaganza, Haleeda. - Foto Munira Abdul Ghani

Tak ramai tahu saya suka lagu rock - Haleeda


Penyanyi, Ifa Raziah membuat persembahan pada Konsert Akhir Gegar Vaganza di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Melihat sisi kewanitaan Haleeda yang dipamerkan sebelum ini ketika pernah meraih populariti pada era 90-an menerusi lagu Setia Kasih dan Terkilan, siapa sangka beliau sebenarnya turut meminati irama rock.

Lihat saja persembahan beliau menerusi pertandingan Gegar Vaganza yang berakhir Ahad lalu, ibu tunggal anak satu ini sebenarnya cukup selesa menyanyikan lagu berirama rock.

Di peringkat akhir pertandingan itu, Haleeda turut menyanyikan lagu Pelesit Kota dendangan asal Search.

"Benar lagu yang menaikkan saya dulu lebih kepada lagu balada. Tapi tak semua orang tahu kerana saya sebenarnya meminati lagu rock juga.

"Malah kalau ada undangan membuat persembahan saya turut akan menyanyikan lagu rock. Lagu kumpulan Scorpions pun saya nyanyi.

pqc


Finalis Program Gegar Vaganza, Haleeda. - Foto Munira Abdul Ghani

"Tapi cuma apabila lagu balada yang diketengahkan... tak ramai yang tahu saya sebenarnya sukakan irama rock. Saya bukan jenis yang control ayu sebenarnya, cuma orang saja tak tahu saya layan rock," katanya yang pernah memiliki dua buah album bersama syarikat EMI suatu ketika dulu.

Di pentas akhir Gegar Vaganza, nama Haleeda turut diramalkan sebagai juara tetapi rezeki lebih menyebelahi Ayai Ilusi.

Haleeda hanya mendapat tempat kedua. Beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka sambil menyifatkan Ayai layak dinobatkan sebagai juara.

Menurut Haleeda lagi, beliau sedar kesilapan yang dilakukan semasa pusingan battle bersama Ifa Raziah menyanyikan lagu Fanatik (KRU) secara jelas mampu menjejaskan potensi beliau untuk berada dalam kelompok top 3.

"Ketika membuat persembahan di atas pentas, saya hanya memikirkan mahu memberikan yang terbaik saja dan semampu boleh. Tapi saya ada buat kesilapan ketika lupa lirik bahagian rap lagu Fanatik. Tapi di atas pentas, saya berlagak seperti tiada kesilapan.

"Datuk Ramli MS sendiri sebagai juri pernah katakan kepada saya, jika ada membuat kesilapan tak mustahil akan berada di posisi terkebelakang. Selepas pusingan battle, saya hanya mampu berserah dan terpulang kepada juri. Saya bersedia dengan apa saja keputusan.

"Cuma dari awal lagi, saya tak pernah sasarkan untuk jadi juara. Ia akan jadi tekanan kalau nak fikir jadi juara.

"Setiap peserta ada potensi dan kelebihan untuk bergelar juara. Secara peribadi, saya dari awal memang kagumi Ayai kerana nyanyiannya sangat konsisten," katanya.

Tambah Haleeda lagi sejak membabitkan dunia seni hingga sekarang, tiada istilah beliau bersara. Selain dunia nyanyian, Haleeda turut membabitkan diri dalam dunia lakonan sekitar 11 tahun lalu.

"Saya tak pernah berhenti menyanyi sebenarnya. Cuma apabila saya tidak muncul di arus perdana, ramai yang beranggapan saya sudah tidak lagi di arena seni.

"Saya berlakon pun secara kebetulan dan individu yang mempengaruhi saya untuk berlakon ialah Hamidah Wahab," katanya yang mula berlakon dalam sebuah drama untuk slot Panggung RTM.

Ditanya mengenai pembabitannya di Gegar Vaganza, Haleeda tak menafikan program berkenaan meninggalkan impak tersendiri buat kerjaya seninya. Ia bagaikan satu permulaan yang baik buatnya untuk kembali menyanyi.

"Selain itu saya juga dapat bertemu semula dengan peminat yang selama ini bertanyakan perkembangan seni. Saya memang suka menyanyi sebenarnya kalau nak dibandingkan dengan berlakon.

"Masa saya dapat tawaran menyertai pertandingan ini pun ketika sedang melunaskan baki penggambaran sebuah drama. Selesai saja penggambaran saya terus sertai Gegar Vaganza," katanya yang sudah empat tahun bertudung.

Sisi peribadinya pula, Haleeda sudah dua kali berkahwin dan kedua perkahwinannya itu menemui titik noktah. Menerusi perkahwinan pertama dengan bekas pemain bola sepak, Azman Adnan mereka dikurniakan Amirah Amani Azman kini berusia 20 tahun.

"Kegagalan dalam perkahwinan itu sudah tertulis bahawa sudah setakat itu jodoh saya dengan mereka. Ia satu proses pembelajaran apabila satu yang kita rancang berpanjangan tidak berkekalan. Cuma saya belum fikir lagi soal untuk berkahwin lagi. Setakat kawan-kawan itu adalah," kata Haleeda yang merancang untuk memberi nafas baru lagu balada berjudul Impianku ciptaan adiknya sendiri Amanina Alwani.

Berita Harian X