Sabtu, 22 April 2017 | 7:00am

Pastikan tayar sentiasa dalam keadaan baik


PENJAGAAN dan pemilihan tayar amat penting dan perlu diberi keutamaan oleh setiap pemandu. - Foto hiasan

PELBAGAI faktor sering dikaitkan sebagai punca kemalangan jalan raya, antaranya pertambahan jumlah kenderaan, kelalaian manusia dan kerosakan kenderaan.

Bagi mengelakkan kemalangan yang berpunca daripada kerosakan kenderaan, pemilik kenderaan sering memberi keutamaan terhadap enjin ketika menyelenggara kenderaannya bagi memastikannya berada dalam keadaan baik.

Ramai terlepas pandang

Namun, ramai juga tidak menyedari dan terlepas pandang mengenai tayar yang juga satu-satunya bahagian pada kenderaan yang bersentuhan dengan permukaan jalan raya.

Jika salah satu daripada tayar tidak mencengkam dengan baik atau pecah, ia boleh mengundang kemalangan berikutan kegagalan tayar terbabit berfungsi dengan baik.

Justeru, penjagaan dan pemilihan tayar amat penting dan perlu diberi keutamaan oleh setiap pemandu. Tayar yang botak, bocor, kempis atau terlebih atau terkurang angin bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

Undang musibah

Masalah tayar yang sering dikaitkan sebagai punca kemalangan ialah tayar celup yang selalunya digunakan terutama oleh kenderaan perdagangan seperti lori, treler dan bas.

Selain tayar celup, tayar toreh, tayar import terpakai, tayar terpakai tempatan, tayar musim salji dan tayar tamat tempoh penggunaannya (lebih empat tahun) juga berisiko menyebabkan musibah serupa.

Berdasarkan maklumat pengendali Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tahun lalu sahaja, sebanyak 1,485 kes kemalangan di lebuh raya berpunca daripada pelanggaran objek, yang mana 41.3 peratus daripada objek terbabit adalah tayar serta serpihan tayar yang sering dikaitkan dengan tayar celup.

Jimat tidak bertempat

Sikap sesetengah majikan (pemilik kenderaan perdagangan) memilih tayar celup bagi mengurangkan kos operasi dibimbangi boleh menjadi antara punca kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti lori, treler dan bas.

Ramai majikan suka menggunakan tayar celup kerana faktor harganya yang murah tanpa memikirkan risikonya.

Sikap berjimat tidak bertempat ini perlu dielak. Elakkan sikap terlalu utamakan harga murah dengan mengenepikan aspek keselamatan kerana ia mampu menyelamatkan banyak nyawa.

Berita Harian X