Selasa, 6 Januari 2015 | 1:41pm

Polis Pulau Pinang hantar 15 lori barang keperluan untuk mangsa banjir

KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi memegang bendera melepaskan Kontinjen PDRM semasa Majlis Pelancaran Bantuan Bencana Banjir Peringkat Kontinjen PDRM Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, hari ini. - Foto Amir Irsyad Omar

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menggerakkan misi bantuan banjir dengan menghantar barang keperluan kepada mangsa banjir di negeri-negeri pantai timur hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, 15 lori diguna untuk menghantar semua barang berkenaan ke pusat pengumpulan bantuan banjir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, polis kontinjen negeri juga berjaya mengumpul wang tunai sebanyak RM30,338 menerusi kutipan tabung bencana banjir untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.

"Barang-barang seperti makanan, pakaian dan keperluan lain itu adalah hasil sumbangan anggota dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya kepada pemberita sempena majlis Pelancaran Bantuan Bencana Banjir peringkat kontinjen Pulau Pinang sini hari ini.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan minggu depan.

Katanya, Polis Pulau Pinang juga bersedia untuk menghantar anggota bagi membantu di negeri terbabit sekiranya diperlukan. - BERNAMA

Berita Harian X