Jumaat, 21 April 2017 | 4:28pm

1,186 pelajar sekolah menengah di Selangor disaman


SUPRITENDAN Kamaludin Mohamad menunjukkan laporan mengenai Ops Didik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Seramai 1,186 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima di 43 sekolah di seluruh Selangor dikenakan tindakan saman selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata saman dikeluarkan terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi motosikal.

Katanya, Operasi Didik JSPT Selangor itu dijalankan secara serentak selama tiga hari bermula 19 April sehingga hari ini antara jam 7 hingga 8 pagi di 43 sekolah menengah di Selangor.

"Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan satu (14 orang), tingkatan dua (73 orang), tingkatan tiga (187), tingkatan empat (288) dan tingkatan lima (624 orang). Majoriti adalah pelajar lelaki.

"Ia dijalankan di kawasan pada jarak 100 meter dari sekolah terbabit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Kamaludin berkata, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menangani perkara ini supaya pelajar tidak keluar rumah rumah atau ke sekolah dengan menunggang tanpa topi keledar dan lesen memandu.

"Saya berharap pihak berkenaan, terutama kepada ibu bapa supaya memberikan penekanan mengenai perkara ini terhadap anak-anak agar mengikut undang-undang kerana angka pelajar yang dikesan melakukan kesalahan trafik terlalu tinggi di Selangor.

"Operasi akan diteruskan secara berkala. Ini fasa pertama, mungkin fasa kedua bulan depan dengan pembabitan pelbagai agensi termasuk Jabatan Narkotik," katanya.

Dalam operasi itu juga, sebuah motosikal yang digunakan seorang pelajar yang ditahan disita manakala 51 saman dikeluarkan kepada ibu bapa kerana kesalahan menunggang tanpa memakai topi keledar serta membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

12 dibaca
Berita Harian X