Jumaat, 21 April 2017 | 12:57pm

Ahli ANGKASA dapat keistimewaan rawatan mata


DATUK Abdul Fattah Abdullah. - Foto Eizairi Shamsudin

PETALING JAYA: Ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) kini boleh menikmati keistimewaan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH).

Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) anak syarikat ANGKASA, iaitu MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dengan THONEH, hari ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata setiap ahli akan diberi kad kesetiaan MyANGKASA-THONEH secara percuma seperti terkandung dalam memorandum bertempoh dua tahun itu.

Katanya, ia adalah kad kesetiaan pertama seumpamanya di Malaysia dan akan memanfaatkan lapan juta ahli ANGKASA, selain menggalakkan mereka mendapat pemeriksaan mata secara tetap.

"Keistimewaan pemegang kad termasuk rebat tunai, yuran pendaftaran pengecualian untuk perkhidmatan atas RM300 dan diskaun sekurang-kurangnya lapan peratus," katanya ketika merasmikan Majlis Menandatangani MoU antara MyANGKASA dan THONEH di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Pengarah MyANGKASA Holdings, Datuk Hanapi Suliman manakala THONEH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif THES Capital Sdn Bhd, Zaki Mohd Zakaria.

Fattah berkata, kerjasama strategik itu akan melalui dua fasa yang mana bagi fasa pertama, memberi kad kesetiaan kepada ahli koperasi untuk melakukan pemeriksaan mata sebagai langkah pencegahan awal.

Katanya, fasa dua membolehkan koperasi dan ahli bernaung di bawah ANGKASA menceburi bidang perniagaan penjagaan mata.

Bidang optometri menjana potensi perniagaan bernilai RM983 juta setahun, manakala kesihatan (RM100 juta) dan penjagaan mata (RM2.8 bilion).

11 dibaca
Berita Harian X