Selasa, 6 Januari 2015 | 10:36am

Man United temu Cambridge, Arsenal layan Brighton

LONDON: Kelab divisyen empat Cambridge United yang juga pasukan di ranking terendah masih bertahan dalam kempen Piala FA akan menanti kunjungan juara 11 kali, Manchester United pada pusingan empat trofi berprestij Inggeris itu.

Penyandang juara Arsenal akan membuat kunjungan ke kelab Liga Kejuaraan, Brighton & Hove Albion dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea akan berdepan sama ada kelab Liga Kejuaraan, Millwall atau Bradford City.

Juara Inggeris, Manchester City pula akan beraksi di laman sendiri Etihad menentang kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough dan Birmingham City akan melayani kunjungan West Bromwich Albion pada pertembungan tetangga Midlands.

"Ia perlawanan yang kami nanti-nantikan," kata Ketua Jurulatih Cambridge United, Richard Money mengulas pertembungan menentang Man United.

"Ia adalah ganjaran buat semua orang yang bekerja keras untuk kelab ini. Semua orang banyak menderita ketika kami semua sembilan tahun di luar liga namun ramai yang bekerja keras dan kami gembira dengan jadual seperti ini," katanya.

Perlawanan menentang Cambridge bermakna ini kali kedua berturut-turut United bertemu lawan jauh lebih rendah selepas kelab bimbingan Louis van Gaal itu menewaskan pembunuh gergasi, Yeovil Town 2-0 di pusingan tiga.

Bagi Tottenham atau Burnley yang mencatat keputusan seri 1-1 pada pusingan tiga, awal pagi tadi, lawan mereka ialah Leicester City bermakna satu lagi pertembungan membabitkan dua kelab Liga Perdana Inggeris.

Spurs memiliki memori indah menewaskan Burnley pada final Piala FA 1962 dan turut mengecewakan Leicester untuk menjulang trofi sama pada 1961.

Dalam pada itu, satu lagi kelab Liga Perdana Aston Villa akan menanti kunjungan pendahulu Liga Kejuaraan, Bournemouth manakala Liverpool yang menewaskan AFC Wimbledon 2-1, awal pagi tadi akan melayan Bolton Wanderers.

Perlawanan menentang Bolton yang juga bekas kelab di Liga Perdana akan menyaksikan penyerang lama Liverpool, Emile Heskey yang membuat penampilan semula ke Anfield. - Reuters

Jadual perlawanan pusingan empat Piala FA

- Southampton/ Ipswich Town mln Crystal Palace

- Cambridge United mln Manchester United

- Blackburn Rovers mln Swansea City

- Chelsea mln Millwall/ Bradford City

- Derby County mln Scunthorpe United/ Chesterfield

- Preston North End mln heffield United

- Birmingham City mln West Bromwich Albion

- Aston Villa mln AFC Bournemouth

- Cardiff City mln Reading

- Liverpool mln Bolton Wanderers

- Burnley/ Tottenham Hotspur mln Leicester City

- Brighton & Hove Albion mln Arsenal

- Rochdale mln Stoke City

- Sunderland mln Fulham/ Wolverhampton Wanderers

- Doncaster Rovers/ Bristol City mln Everton/ West Ham United

- Manchester City mln Middlesbrough

Berita Harian X