Khamis, 20 April 2017 | 5:40pm
KEADAAN treler yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang kelindan putus kaki dan tangan kiri dalam kejadian di Kilometer 231.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di Rembau, hari ini.

Putus tangan, kaki akibat kemalangan


KEADAAN mangsa yang putus tangan dan kaki kiri akibat kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 231.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di Rembau, hari ini.

REMBAU: Seorang kelindan warga Myanmar putus tangan serta kaki kiri dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 231.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Shariff, berkata dalam kejadian jam 10 pagi berhampiran susur keluar Pedas itu, treler dinaiki mangsa merempuh belakang sebuah lagi treler di lorong kecemasan.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang duduk di bahagian penumpang tersepit dan putus tangan kiri serta kaki kiri, manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan serius.

"Dia dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler dinaiki mangsa dipandu seorang lelaki tempatan dan dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Berita Harian X