Khamis, 20 April 2017 | 2:28pm

Sindiket edar, proses dadah RM2.5 juta tumpas


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (dua dari kiri) menunjukkan barang dan wang tunai yang dirampas pada sidang akhbar berkenaan rampasan dadah bernilai RM2.5 Juta, rampasan harta sitaan dan wang tunai di Bukit Aman, hari ini.
- Foto BERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah ekoran penahanan sembilan individu, termasuk dua warga asing, Selasa lalu.

Dalam serbuan selama 12 jam di empat lokasi sekitar Lembah Klang itu, sejumlah 19,661 biji pil ekstasi; 21,396 pil erimin 5; 2,283 biji kapsul ekstasi; 155 gram syabu; 60 gram ganja; 44 gram ketamin dan 30.5 kilogram ephedrine dirampas.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

Turut dirampas, lapan buah kenderaan pelbagai jenama, termasuk kenderaan mewah dan wang tunai RM125,830.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata serbuan berkenaan dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, hasil perkongsian maklumat antara JSJN Bukit Aman dan Biro Siasatan Jenayah Taiwan.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah pusat snuker di Jalan Tun Razak menahan tujuh lelaki rakyat tempatan dan merampas dadah jenis erimin, ekstasi, serbuk ephedrine dan serbuk ketamin.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, kita menyerbu lokasi kedua di Jalan Cochrane, Cheras dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam di Jalan Tun Abdul Razak.

"Berdasarkan maklumat daripada suspek, kita kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Desa, di sini, dipercayai dijadikan stor dan makmal pemprosesan dadah berikutan penemuan peralatan dan bahan kimia memproses dadah.

"Turut dirampas, pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ganja dan pil ekstasi serta serbuk ephedrine," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya sindiket berkenaan mempunyai hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa kerana semua bahan itu dibawa masuk dari Taiwan dan China.

 

"Kita percaya ephedrine yang dirampas adalah bahan yang akan digunakan untuk menghasilkan syabu dan jika diproses, boleh menampung 145,000 orang penagih," katanya.

 

Katanya, semua dadah terbabit dipercayai untuk edaran di pusa hiburan dalam negara ini.

"Semua suspek direman hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.," katanya.

51 dibaca
Berita Harian X