Isnin, 5 Januari 2015 | 6:38pm

Banjir di Pahang, Kelantan, Perak makin pulih petang ini

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang, Perak dan Kelantan semakin pulih apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan empat negeri itu terus turun petang ini berbanding tengah hari tadi.

Sementara itu di JOHOR, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat masih kekal seramai 20 orang daripada lima keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 27,073 orang yang ditempatkan di 122 pusat pemindahan di enam daerah yang terlibat berbanding 29,547 orang tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, keadaan banjir di daerah Lipis kembali pulih selepas pusat terakhir yang menempatkan 31 orang di Balai Raya Lentang ditutup 3 petang tadi.

Daerah Pekan masih menempatkan mangsa paling ramai 11,203 orang diikuti Temerloh (8,663), Maran (2,771), Bera (2,298), Kuantan (1,130) dan Jerantut (1,008).

Keadaan sama dilaporkan di KELANTAN apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 5,602 orang berbanding 5,612 orang tengah hari tadi. Mereka ditempatkan di 41 pusat pemindahan di empat jajahan.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri berkata, jumlah mangsa yang direkodkan ialah Kuala Krai dengan 2,522 orang, Gua Musang (2,076), Tanah Merah (810) dan Machang (204).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir turun kepada 5,637 orang daripada 1,573 keluarga berbanding 5,673 orang daripada 1,583 keluarga tengah hari tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, satu lagi pusat pemindahan banjir ditutup, menjadikan 36 pusat pemindahan masih dibuka di lima daerah yang terjejas iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak dan Manjung masing-masing kekal 660 dan 150 orang, Perak Tengah turun kepada 4,493, Hilir Perak (304) dan Kuala Kangsar (84).

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Jasimi Zeniol Abdin, berkata tarikh pembukaan sekolah terjejas akibat banjir atau yang dijadikan pusat pemindahan di Perak akan dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan.

"Sebanyak 23 sekolah dan sebuah Maktab Rendah Sains MARA dijadikan pusat pemindahan serta terlibat dalam bencana banjir.

"Kita akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk tengok balik macam mana sebab sekolah akan buka pada 12 Januari nanti. Perkara ini akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan," katanya pada sidang media di pejabat MKN di Ipoh hari ini.

Setakat ini, lebih RM1 juta telah berjaya dikumpulkan untuk Tabung Bencana Negeri Perak.

- BERNAMA

Berita Harian X