Isnin, 5 Januari 2015 | 6:10pm

Sabah perlu tambahan kerusi seperti Sarawak - UPKO

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memberi tambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Sabah seperti yang disyorkan agensi itu bagi Sarawak.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan, berkata asas pertimbangan yang digunakan SPR ketika mengesyorkan bilangan kawasan DUN baharu kepada Sarawak dalam persempadanan semula kawasan DUN perlu diguna pakai untuk Sabah.

"Saya tidak dapat menyatakan secara spesifik cadangan UPKO tetapi cukup memadai sekiranya kami katakan cadangan UPKO yang berdasarkan fakta dan kaji selidik sudah kami sampaikan kepada pihak berkenaan," katanya.

Albert berkata demikian ketika mengetuai serombongan anggota parti itu mengadakan kunjungan ke pejabat BERNAMA di sini hari ini.

Beliau mengulas syor SPR supaya Sarawak diberi tambahan 11 kerusi DUN menjadikan jumlahnya kepada 82 berbanding 71 sekarang. Sabah ketika ini mempunyai 60 kerusi DUN.

Albert berkata, satu daripada faktor yang mewajarkan Sabah turut diberi pertimbangan bagi tambahan kerusi DUN adalah keperluan untuk menambah bilangan wakil rakyat berikutan peningkatan jumlah penduduk negeri ini.

Katanya, dengan menambahkan bilangan wakil rakyat, nisbah wakil rakyat dan penduduk di Sabah dapat dikecilkan dan dengan itu perkhidmatan kepada rakyat juga akan menjadi lebih cekap serta berkesan.

"Pertambahan penduduk itu bererti kita memerlukan lebih ramai wakil rakyat agar kepentingan dan keperluan mereka (rakyat) untuk pembangunan lebih terpelihara.

"Kita juga cukup percaya dengan slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X