Isnin, 17 April 2017 | 9:50pm

Tiada laporan penculikan Chong di Hatyai


Peter Chong

BANGKOK: Polis Hatyai tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis Peter Chong bahawa beliau diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.

Ketua Polis Hatyai, Kolonel Kittichai Sankatavorn, berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap Chong atas dakwaan mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu.

"Jika didapati tiada laporan (polis) dibuat, maka Polis Hatyai akan membuat laporan terhadap beliau (Chong) kerana membuat cerita rekaan," katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Polis Hatyai tetap menyiasat dakwaan Chong yang juga pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, itu dengan meneruskan pemeriksaan di balai polis berhampiran serta polis pelancong Hatyai.

Kittichai juga akan berhubung dengan Polis Malaysia bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan aktivis itu diculik di Hatyai, destinasi yang popular dengan pelancong Malaysia.

"Kita ingin tahu di balai polis mana beliau buat laporan polis (sekiranya membuat laporan polis)," katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dilaporkan berkata, Chong mendakwa dirinya diculik ketika berada di Hatyai dan dibawa ke Pattaya sebelum dibebaskan dan pulang ke tanah air.

Amar Singh berkata, aktivis itu memberitahu beliau ke Hatyai untuk bertemu sumbernya berhubung kes kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter rasminya mengumumkan kepulangan Chong dari Pattaya.

Chong dilaporkan hilang sejak 6 April lalu setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon, sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah keesokannya. - BERNAMA

34 dibaca
Berita Harian X