Isnin, 17 April 2017 | 5:18pm

Jijoe tak fikir soal habuan


PELUMBA basikal trek negara, Azizulhasni Awang ketika sidang media majlis pelancaran #Daretodream inisiatif bersama wira negara di RedQ Airasia, Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Azizulhasni Awang menegaskan dia tidak peduli dengan insentif yang dilihat tidak setimpal meskipun mencipta sejarah meraih pingat emas pada Kejohanan Dunia di Hong Kong, Khamis lalu.

Menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) pelumba kelahiran Dungun, Terengganu sekadar layak menerima imbuhan sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun, pelumba yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocket Man atau Jijoe itu mengakui soal ganjaran tidak pernah menjadi keutamaannya.

"Sebenarnya fokus utama saya adalah untuk mengekalkan prestasi terbaik untuk memenuhi satu lagi impian terakhir saya iaitu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Memang saya tidak fikirkan langsung mengenai wang ringgit atau sebagainya sebab pada saya ia hanya satu bonus tambahan.

"Saya ingat pepatah 'jika anda berusaha gigih untuk mendapat prestasi terbaik, wang itu akan datang sendiri kepada anda'," katanya ketika melancarkan kempen AirAsia #DareToDream di RedQ, di sini, hari ini.

Sejurus menamatkan percutiannya di tanah air, Azizulhasni, 29, terus kembali menjalani latihan di Melbourne pada minggu depan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Begitupun, penghuni ranking ke-13 keirin dunia itu memberi bayangan betapa dia tidak akan beraksi dalam acara pecut di temasya Kuala Lumpur kerana mahu menumpukan diri kepada acara kegemarannya keirin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata menerusi inisiatif #DareToDream pihaknya akan terus memberi sokongan yang diperlukan kepada Azizulhasni dari segi latihan dan pertandingan.

Berita Harian X