Ahad, 16 April 2017 | 7:21pm

Lelaki cuba leraikan pergaduhan cedera ditikam di mata

SERI ISKANDAR: Seorang lelaki cedera pada mata kiri dan leher dipercayai terkena tikaman selepas cuba meleraikan pergaduhan lelaki dan wanita di sebuah kedai langsir di Persiaran SIBC 6, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, mangsa yang cedera berusia 39 tahun dipercayai ditikam seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga warga Singapura di kedai berkenaan.


Mohamad Zainal Abdullah. - Foto L Manimaran

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika kejadian pada jam 8 malam itu, mangsa bersama seorang lagi rakan sekerja berusia 18 tahun berada di kedai berkenaan sebelum dia cuba meleraikan pergaduhan antara majikan dan suspek di kedai terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga bekas suami majikan mangsa mengunjungi kedai terbabit untuk rujuk kembali.

"Perbualan antara mereka bertukar menjadi pergaduhan apabila suspek mencapai sebilah gunting kain di atas meja sebelum cuba menyerang majikannya.

"Mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu cuba menghalang suspek namun berlaku pergelutan mengakibatkan kedua-dua mereka terjatuh ke lantai.

"Susulan pergelutan itu, suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan gunting dan terkena pada mata kiri dan leher di sebelah kanan mangsa, " katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pergelutan itu berjaya dileraikan orang awam yang kemudiannya menahan dan membawa suspek ke Balai Polis Seri Iskandar.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut mendapati suspek datang ke kedai berkenaan untuk rujuk semula dengan bekas isterinya namun pertemuan itu menimbulkan pergaduhan yang dipercayai bermotifkan cemburu.

"Suspek ditahan tujuh hari untuk siasatan lanjut manakala gunting yang dipercayai menjadi senjata untuk menikam itu dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa," katanya.

Berita Harian X