Isnin, 5 Januari 2015 | 12:48pm
REAKSI pengurus Real Sociedad, David Moyes ketika perlawanan La Liga Sepanyol menentang Barcelona di Stadium Anoeta. Sociedad menang 1-0. - Foto EPA

Ia malam paling gembira buat saya - Moyes

MADRID: Bos Real Sociedad, David Moyes memuji persembahan cemerlang anak buahnya yang menewaskan Barcelona 1-0 dalam kempen La Liga dan menggambarkannya ia 'malam paling istimewa' buat dirinya.

Terdahulu, satu lagi gergasi Sepanyol Real Madrid turut berdepan nasib sama apabila tewas 1-2 kepada Valencia yang mengakhiri rekod 22 perlawanan tanpa kalah skuad bimbingan Carlo Ancelotti.

Berada di kedudukan ke-13 La Liga, Sociedad membuktikan mereka mampu mengatasi Barca dan bekas pengurus Manchester United, Moyes percaya cabarannya ketika ini adalah untuk mengekalkan prestasi konsisten pemainnya.

Moyes mengambil alih tugas di Sociedad pada November tahun lalu.

"Ia adalah malam paling gembira sejak saya tiba di San Sebastian. Kami semua bekerja dengan amat keras. Kami menampilkan keberanian dan bertahan dengan menakjubkan," kata Moyes.

"Pasukan ini menunjukkan kemampuan mereka dalam perlawanan yang besar, menentang pasukan terbaik di dalam liga dan kini kami perlu menampilkan kemampuan sama untuk memenangi perlawanan lain. Di laman sendiri contohnya, kami banyak melepaskan mata."

Pengurus Barca, Luis Enrique berkata pasukannya membayar harga mahal apabila meninggalkan dua pemain terbaiknya, Lionel Messi dan Neymar di bangku simpanan.

Kedua-dua bintang Argentina dan Brazil itu pulang ke Sepanyol pada Jumaat selepas menghabiskan cuti Krismas dan hanya diturunkan selepas rehat babak pertama.

"Merasa bersalah selepas apa yang terjadi tidak membantu sesiapapun," kata Enrique. Saya mengambil keputusan itu untuk mengelak risiko kepada pemain yang membuat perjalanan jauh beberapa hari lepas."

Barcelona gagal memecah gawang Sociedad sekalipun menguasai lebih 70 peratus permainan dan memperoleh 17 cubaan tepat ke gawang. - AFP

Berita Harian X