Ahad, 16 April 2017 | 2:05pm

RM750j untuk 10 projek di Terengganu


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (kiri) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua, kanan). - Foto BERNAMA

JERTIH: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM750 juta untuk melaksanakan 10 projek utama di negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata antara projek yang akan dilaksanakan di seluruh Terengganu tahun ini ialah pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Kemaman, membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Beliau berkata, projek lain yang akan dilaksanakan di negeri ini adalah pemuliharaan muara Sungai Setiu dan Paka masing-masing membabitkan kos RM150 juta.

Katanya, projek pemuliharaan Sungai Merchang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM43 juta, rancangan tebatan banjir Kemasik (RM60 juta), naik taraf ban Pantai Lagun Setiu (RM10 juta) dan pemuliharaan menaik taraf sungai Cepuh, Telemong sebanyak RM15 juta.

"Selain itu kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk projek tebatan banjir Guntung Luar, Setiu; tebatan banjir Kuala Terengganu Utara (RM10 juta) dan tebatan banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu sebanyak RM7 juta.

"Dua projek utama yang dijangka siap tahun ini adalah rancangan tebatan banjir di Sungai Nail, Besut, membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta dan projek pembangunan santuari gajah di Sungai Deka di Tasik Kenyir sebanyak RM20.9 juta," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek pemuliharaan muara Sungai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan Baru, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Dr Wan Junaidi berkata, jumlah keseluruhan peruntukan diluluskan untuk pelaksanaan 34 projek di seluruh negeri bermula 2016 hingga 2020 adalah sebanyak RM1.15 bilion.

Mengulas mengenai projek pemuliharaan muara Sungai Besut, Dr Junaidi berkata, projek bernilai RM250 juta itu membabitkan pembinaan pemecah ombak merangkumi 1.85 kilometer (km) ke selatan dan 1.3 km ke sebelah utara, selain pengerukan muara serta pembinaan kolam keladakan dan lapis lindung.

45 dibaca
Berita Harian X