Ahad, 16 April 2017 | 1:27pm

PM lihat gambar kunjungan bapa ke Kuala Besut pada 1969


DATUK Seri Najib Razak (tiga kanan) menerima cenderahati berupa gambar kenangan Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika melawat Besut pada tahun 1969 sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kiri), Mantan Pengetua Sekolah Menengah Agama Nurul Iqtifaq, Che Ku Abd Rahman Abdullah, 78 (dua kanan) selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut, Terengganu Kuala Besut. - Foto Rozainah Zakaria

JERTIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak teruja ketika ditunjukkan gambar sejarah kedatangan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ke Kuala Besut di sini, pada 1969.

Najib yang pertama kali tiba di Kuala Besut sejak menjadi Perdana Menteri teruja melihat gambar Allahyarham bapanya yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri merasmikan Sekolah Menengah Agama Nurul Iqtifaq di sini, pada 13 Mac 1969.

Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Besut (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan, iaitu Che Ku Abd Rahman Abdullah, 78, merangkap bekas Pengetua sekolah berkenaan dan bekas ADUN Kuala Besut, adalah satu-satunya individu dalam video berkenaan yang turut ada bersama.

Pemimpin lain yang turut berada bersama Allahyarham dalam gambar berkenaan ialah bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Ibrahim Fikri dan bekas ADUN Kuala Besut, Allahyarham Datuk Zakaria Muda.

Perdana Menteri diperlihatkan gambar itu selepas majlis taklimat ringkas mengenai projek pemuliharaan muara Sungai Besut oleh Jabatan Pengairan dan Saliran di Dewan Terbuka, muara Kuala Besut di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 1,000 nelayan meraikan kehadiran Najib dengan memaparkan banting 'Terima Kasih PM' di atas keprihatinan melaksanakan projek pemuliharaan muara sungai berkenaan, yang menjadi laluan pelayaran bot nelayan untuk berlabuh di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, selain laluan bagi pelancong dan penduduk untuk ke pulau termasuk Perhentian dan Redang.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut dan Tengku Zaihan.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan majlis pecah tanah projek pemuliharaan muara Sungai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) di Pekan Baru, Kuala Besut, di sini.

Berita Harian X