Ahad, 16 April 2017 | 1:06pm

Kerajaan tak hirau hentaman pembangkang


DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama pada Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut hari ini.- Foto BERNAMA

JERTIH: Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak hirau hentaman pembangkang dan pemimpin lama, tetapi sentiasa bekerja keras supaya Malaysia diiktiraf serta dihormati dunia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinan BN bekerja keras memastikan Malaysia terus maju serta dihormati dengan kejayaannya diukur menerusi pencapaian yang bukan berdasarkan kain rentang di tepi jalan, tetapi berpegang kepada pengurusan Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) dan pengurusan maqasid syariah.

"Sebab itulah kita bekerja bersungguh-sungguh untuk dunia luar hormati kita. Saya tak cara (tidak ambil peduli) pembangkang, pemimpin lama yang dulu yang mengata kita, (tetapi) saya ambil cara (ambil peduli) orang luar, pemimpin besar luar, supaya mereka hormati kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis pecah tanah projek pemuliharaan muara Sungai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) di Pekan Baru, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Muara Sungai Besut adalah laluan pelayaran bagi bot nelayan dan bot membawa pelancong ke pulau utama iaitu Perhentian dan Redang.

Masalah pemendapan mengakibatkan muara sungai berkenaan menjadi cetek dan menjejaskan laluan pelayaran serta air banjir ke laut.

Projek pemuliharaan muara sungai bernilai RM250 juta yang dijangka siap 2019 antara lain membabitkan pembinaan pemecah ombak, pengerukan muara sungai, pembinaan kolam kelodakan, pembinaan lapis lindung (revetment), penambakan pantai dan pembinaan pemecah ombak.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Mengambil contoh Najib berkata, Malaysia diiktiraf dunia apabila menjadi pilihan Raja Arab Saudi, Raja Salman untuk menubuhkan King Salman Centre For International Peace dan Malaysia menjadi pilihan pertama dalam program lawatannya.

"Raja Salman bisik pada saya, antara banyak negara, beliau pilih Malaysia sebagai negara pertama untuk dilawati.

"Lihatlah siapa yang iktiraf kita? Pengiktirafan ini adalah hasil kerja pimpinan UMNO dan kerajaan BN," katanya.

Justeru Perdana Menteri berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kita berada di landasan yang betul dan akan terus konsisten untuk memajukan negara.

"Yang perkecil kita, yang persenda kita, motif mereka, nawaitu mereka hanya (kepentingan) politik, bukan niat suci untuk membangunkan negara. Sebab itu kita jangan ambil peduli (hentaman), tetapi mesti istiqomah," katanya.

Berita Harian X