Sabtu, 15 April 2017 | 4:15pm

Pemuda PAS Kelantan mahu putus tahaluf siyasi PKR

MACHANG: Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPK) sebulat suara meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Adnan Wazir. - Foto ihsan Pemuda PAS

Usul yang diterima sebulat suara pada sesi Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-58 itu dibawa oleh perwakilan Pemuda PAS kawasan Kota Bharu, Adnan Wazir.

Adnan berkata, menyifatkan PKR tidak mempunyai pendirian jelas dalam bertahaluf dengan PAS.

Katanya, tindakan sesetengah pimpinan PKR masih menyerang pimpinan PAS termasuk ketika berkongsi pentas bersama Parti Amanah Negara mendorong kepada keputusan mengakhiri tahaluf siyasi dibuat.

"Dewan Pemuda Pas kawasan Kota Bharu mengusulkan keputusan segera dibuat oleh pimpinan PAS pusat berkenaan isu memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR," katanya.

Pada muktamar itu, Ahli Jawatankuasa Kerja DPPK dikekalkan termasuk Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, usul yang dipersetujui DPPK akan dibawa ke Muktamar PAS Pusat hujung bulan ini.

Berita Harian X