Sabtu, 15 April 2017 | 12:46pm

Sultan Muhammad V dimasyhurkan Tuanku Canselor UiTM


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menerima watikah pemasyhuran sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) kelima yang dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-86 UiTM, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir **271929

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) kelima, hari ini.

Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-86 UiTM.

Sementara itu, Sultan Muhammad V menitahkan UiTM terus berusaha untuk kekal menjadi sebuah institusi utama dalam menjaga kepentingan golongan Bumiputera.

"Beta berasa amat gembira, kerana dapat bersama warga UiTM, ketika universiti sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat, untuk menjadi sebuah universiti unggul, bertaraf dunia menjelang 2020.

"Hasrat ini perlu disokong dan diterjemahkan, agar ia menjadi kenyataan yang lebih relevan dan bermakna setelah UiTM melalui 60 tahun penubuhannya," titah baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan kesyukuran kerana berkesempatan menabur bakti kepada sebuah institusi pendidikan tinggi yang terbukti mempunyai sejarah perjuangan cukup panjang.

"Perjuangan dan peranan yang telah dan sedang dilaksanakan UiTM dalam melakukan transformasi sosial amat menakjubkan.

"Beta berbangga dengan peranan besar yang dimainkan UiTM dalam melahirkan modal insan Bumiputera berkualiti, cemerlang dan terbilang.

"Beta percaya, jika suatu bangsa ingin mengubah atau berhadapan dengan cabaran, mahu mengatasi cabaran dengan jayanya, maka aset yang paling penting adalah sumber manusia berilmu pengetahuan," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, UiTM adalah peneraju utama kepada sumber modal insan Bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi di Malaysia.

Berita Harian X