Sabtu, 15 April 2017 | 10:04am

MSAM 2017 Sime Darby Walk meriah


PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (tiga dari kanan) melepaskan peserta MSAM 2017 Sime Darby Walk bersama Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar (dua dari kanan) dan Presiden Kumpulan Sime Darby Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh (dua dari kiri). - Foto Nazirul Roselan.

TEMERLOH: Seramai 6,500 peserta termasuk warga emas sertai Minggu Saham Amanah 2017 (MSAM 2017) Sime Darby Walk anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, pagi tadi.

Peserta berjalan sejauh 3.8 kilometer di sekitar bandar ini manakala majlis pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad; dan Presiden Kumpulan Sime Darby Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Program tajaan Yayasan Sime Darby di bawah syarikat kumpulan PNB bertujuan mendekatkan syarikat Salam kumpulan dengan masyarakat terutama di luar bandar.

Program itu bertujuan mempromosi MSAM 2017 yang akan berlangsung pada 20 hingga 25 April di Dataran Temerloh, dekat sini.

MSAM 2017 yang bertema Pelaburan 360 Hari dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Khamis ini manakala majlis penutup oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 April.

MSAM 2017 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran disertai kira-kira 50 pempamer merangkumi syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.

Berita Harian X