Sabtu, 15 April 2017 | 2:06am

Mampukah Chelsea buat United gigit jari?

KOLUM APA KATA EPL

SELEPAS 31 aksi minggu lalu, Chelsea terus mendominasi takhta Liga Perdana Inggeris (EPL). The Blues menghimpunkan 75 mata. Paling hampir dengan mereka adalah Tottenham Hotspur dengan dibezakan tujuh mata.

Liverpool ketiga dengan 63 mata, namun sudah beraksi 32 perlawanan manakala Manchester City, keempat (61 mata selepas 31 aksi), Manchester United di tangga kelima (57 mata daripada 30 aksi) dan Arsenal di tempat keenam (54 mata daripada 30 aksi).

Di posisi tercorot pula terus dihuni Sunderland dengan hanya himpunan 20 mata,

diikuti Middlesbrough di tangga ke-19 dengan 24 mata, manakala Swansea City (28 mata) dan Hull City (30 mata).

Kembali kepada saingan minggu ini, sebanyak 10 lagi aksi bakal berlangsung dengan tumpuan sudah pasti terarah kepada pertembungan antara Chelsea dan United di Old Trafford jam 11 malam esok.

Sebelum pertembungan dua kelab gergasi EPL ini, The Blues meninggalkan United pimpinan Jose Mourinho dengan 18 mata, sekali gus tidak timbul sama sekali soal sama ada The Red Devils akan merapati atau memintas pasukan bimbingan Antonio Conte ini.

Jadi apakah kepentingan aksi ini bagi kedua-dua pasukan? Bagi Chelsea, saya melihat ia sebagai landasan untuk Conte memastikan gelaran kejuaraan EPL musim ini menjadi milik mereka.

The Blues perlu mendapat tiga mata di Old Trafford dalam perjalanan menghabiskan baki tujuh lagi perlawanan itu dengan harapan membakar semangat pasukan berkenaan tatkala semua pasukan lawan turut memburu kemenangan.

Namun mereka hanya memerlukan 15 mata lagi menerusi lima perlawanan itu bagi menghimpun minimum 90 mata keseluruhan. Selain United, tiada lagi pasukan lain dilihat mampu menghalang mereka daripada merangkul kejuaraan musim ini.

Selepas United, Chelsea bakal bertemu Southampton, Everton, Middlesbrough, West Brom, Watford dan Sunderland.

Bagi United pula, perlawanan ini sangat penting berpihak kepada mereka untuk memburu tempat ke saingan Eropah musim depan menerusi tiket antara empat pasukan teratas EPL.

Dengan berbaki lapan perlawanan, mereka dilihat tidak memiliki peluang cerah berikutan sepanjang perlawanan menuju ke penamat saingan liga pada 21 Mei, mereka bakal berdepan tiga lagi kelab gergasi EPL iaitu City, Arsenal dan Spurs.

Tatkala pertemuan dengan Burnley, Swansea, Southampton dan Palace dilihat bakal memihak mereka, tiga pertemuan dengan gergasi di atas, sudah pasti amat sukar kerana lawan dihadapi turut memiliki misi besar masing-masing.

Seperti juga Chelsea, barisan The Red Devils memerlukan kemenangan pada aksi di Old Trafford. Kekalahan atau seri, sudah pasti akan memberi kesan kepada The Blues untuk meninggalkan Spurs manakala United pula, berdepan kehilangan tempat ke Eropah. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-32
Tottenham 4 Bournemouth 0
Crystal Palace 2 Leicester City 2
Sunderland 3 West Ham 2
Everton 3 Burnley FC 1
Stoke City 2 Hull City 1
Watford 1 Swansea City 1
Southampton 0 Man City 2
West Brom 1 Liverpool 3
Man United 1 Chelsea 2
Middlesbrough 1 Arsenal 3

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X