Khamis, 13 April 2017 | 6:46pm

Lelaki lemas di Hutan Lipur Gunung Belumut

KLUANG: Seorang lelaki lemas ketika berkelah bersama enam rakannya di Hutan Lipur Gunung Belumut, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari, mangsa Muhamad Afiq Asyraf Syahril, 20, lemas dipercayai tergelincir ke kolam air terjun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian mangsa bersama enam rakannya sedang mandi di air terjun di situ.

"Mangsa yang berasal dari Parit Imam, Batu Pahat bersama enam rakan yang semuanya lelaki berkelah di kawasan Hutan Lipur Gunung Belumut selepas datang ke situ menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Batu Pahat.

"Ketika sedang mandi-manda, rakan mangsa menyedari beliau tidak kelihatan sebelum mereka menyelam mencari mangsa di dasar air terjun.

"Mangsa kemudian ditemui di bahagian dasar air terjun sebelum dibawa ke pondok berdekatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Kahang Timur yang dikejarkan ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat.

Berita Harian X