Khamis, 13 April 2017 | 12:47pm
KEADAAN kereta yang bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kontena di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Ladang Guru Nanak, Serendah, Kuala Kubu Bharu, pagi tadi.

Lelaki maut tersepit


Keadaan kereta yang bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kontena di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Ladang Guru Nanak, Serendah di sini, pagi tadi.

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kontena di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Ladang Guru Nanak, Serendah di sini, pagi tadi.

Kejadian pada jam 1.26 pagi tu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ong Soon Hooi, 35, terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan menghala ke Ipoh sebelum kenderaannya terbabas dan berlanggar dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Supramaniam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 pagi.

"Anggota dan pegawai bomba yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kenderaan mangsa terperosok di bawah lori terbabit.

"Mangsa yang tersepit dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X