Rabu, 12 April 2017 | 7:23pm

3 pasang kembar dilahirkan dalam tempoh 75 minit


TIGA pasang bayi kembar yang dilahirkan dalam tempoh 75 minit di Hospital Keningau, semalam. - Foto Ihsan Pembaca

KENINGAU: Dalam tempoh 75 minit, tiga pasang bayi kembar dua membabitkan tiga ibu dilahirkan di Hospital Keningau di sini, semalam.

Pengarahnya, Dr Ridwan Hashim, berkata tiga ibu termasuk dua dari Tenom melahirkan anak mereka antara jam 12.38 tengah hari hingga 1.53 tengah hari.

"Enam kembar iaitu seorang perempuan dan lima lelaki dengan berat antara 1.8 hingga 2.45 kilogram.

"Biasanya purata kadar kelahiran setiap hari di hospital ini adalah 11 bayi dan kita mempunyai lapan bilik bersalin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Gambar kembar berkenaan dikongsikan di media sosial dengan sebahagian besar pembaca mengucapkan tahniah atas kelahiran kembar terbabit, selain ucapan penghargaan kepada pasukan perubatan yang menyambut kelahiran.

Seorang daripada ibu kembar terbabit, Asnitah Lazarus, 26, adalah jururawat di bahagian pembedahan wad lelaki hospital terbabit.

Suaminya, Daffri Adzahari, 30, berkata bayi kembar mereka, lelaki dan perempuan, adalah kejutan kepada mereka kerana pada mulanya, pasangan itu diberitahu bahawa bayi mereka berkongsi plasenta yang sama iaitu kedua-duanya lelaki.

"Namun, kami mempunyai firasat yang kedua-duanya adalah sepasang iaitu lelaki dan perempuan.

"Apabila bayi dihantar, kami gembira sebab kedua-duanya kelihatan serupa dan mempunyai berat yang sama iaitu 2.45 kilogram," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X