Rabu, 12 April 2017 | 6:29pm

Anak Norman Hakim belajar hafazan di Turki


ANAK sulung Norman, Danish bakal menyambung pengajian hafazan ke Turki pada tahun ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim, bersyukur apabila anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim, 14, berpeluang melanjutkan pengajian hafazan di Turki.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 41, berkata Danish ialah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta, dan dijangka bertolak ke negara itu tahun ini.

"Alhamdulillah, Danish dipilih antara 10 pelajar untuk sambung pengajian ke Turki bagi menyelesaikan baki hafazan lapan juzuk berdasarkan prestasi semasa.

"Perasaan saya bercampur-campur sebenarnya antara syukur, gembira, sedih dan hiba. Inilah anak pertama, darah daging dan merangkap kawan baik saya dunia akhirat, yang boleh diajak berbual serta berkongsi bermacam-macam perkara.

"Sepatutnya dia perlu bertolak ke sana pada Mei depan, tetapi saya minta ia ditunda hingga Oktober. Sempatlah juga nak beraya bersama," katanya kepada BH Online.

Menurut Norman, itulah juga yang didoakan anaknya sepanjang masa dan kini ia menjadi kenyataan.

Berita gembira itu dikongsi oleh Norman menerusi akaun Instagramnya, dengan memuat naik foto surat tawaran yang diterima Danish.

Dalam pada itu, Norman turut mengakui beliau kini sedang mencari kekuatan untuk melepaskan anaknya jauh di perantauan.

Malah, beliau turut meminta pengikutnya berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat yang mungkin berdepan dengan situasi sama dengannya.

"Dulu, saya pernah berasakan perasaan begini, ketika mula-mula Danish hendak masuk ke asrama dan sekarang, dia nak pergi jauh ke perantauan pula.

"Saya cuba mencari kekuatan dengan izin-Nya. Dalam masa sama, kalau ada kawan-kawan di sini (pengikut Instagram) pernah ada pengalaman sebegini, mohon beri saya kata-kata semangat dan motivasi," ujarnya lagi.

Posting berkenaan membuatkan rata-rata pengikut akaun beliau mengucapkan tahniah dan gembira dengan perkongsian berita berkenaan. Malah, peminatnya mendoakan agar Danish dapat menghabiskan pengajian hafazan dengan lancar dan sempurna.

Selain Danish, Norman turut dianugerahkan dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi, iaitu Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9.

Bersama isterinya sekarang, Memey Suhaiza, Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 4 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.

Berita Harian X