Rabu, 12 April 2017 | 3:45pm

Lemas jatuh sungai ketika lihat bubu


ANGGOTA bomba membawa mayat Abu Bakar Udoh (gambar kecil) yang ditemui tidak jauh dari tempat mangsa terjatuh ke Sungai Muda berhampiran kampung Jawa, dekat Pinang Tunggal di Sungai Petani. - Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas lemas selepas terjatuh ketika melihat bubu yang dipasangnya di Sungai Muda, berhampiran Kampung Jawa di Pinang Tunggal, di sini.

Mayat Abu Bakar Udoh, 80, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sungai berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Abu Bakar dikatakan keluar ke sungai berkenaan kira-kira jam 8 pagi dan menggunakan perahu untuk melihat bubu yang dipasangnya sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun mangsa dikatakan tidak pulang sebelum anaknya keluar mencarinya di sungai terbabit, namun hanya menemui perahu digunakan mangsa yang hanyut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penguasa Bomba Kanan I Yaakob Ishak, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi, sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan ambulans EMRS serta enam anggota termasuk PPDA.

Katanya, sebaik tiba lokasi operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan oleh anggota PPDA dengan dibantu dua bot penduduk kampung.

"Kira-kira jam 12.50 tengah hari, mayat mangsa ditemui di dalam air dalam keadaan tersangkut di bawah timbunan pokok kiambang tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X