Ahad, 4 Januari 2015 | 3:32pm
PEKERJA Majlis Daerah Kota Belud membersihkan kawasan Dewan Tun Said Keruak yang ditutup selepas dijadikan Pusat Pemindahan sementara mangsa banjir di Kota Belud. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pusat pemindahan banjir terakhir di Terengganu ditutup

KUALA LUMPUR: Pusat pemindahan banjir terakhir di Terengganu kini ditutup manakala banjir di Sabah menunjukkan kemajuan positif apabila sebahagian besar mangsa dibenarkan pulang tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Durian Mentangau di TERENGGANU, Din Ismail berkata pusat pemindahan tersebut ditutup pada 10 pagi tadi melibatkan satu keluarga dan tujuh mangsa.

Di SABAH, sebanyak 951 mangsa banjir daripada 237 keluarga di daerah Kudat dan Kota Belud dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, menjadikan hanya tinggal 48 mangsa di Pitas sahaja.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turun sedikit kepada 33,342 orang setakat 2 petang ini berbanding 33,876 orang pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 13,829 orang diikuti Pekan (11,073), Bera (2,687), Jerantut (2,436), Maran (2,149), Kuantan (1,115) dan Lipis (53).

Di KELANTAN, jumlah bilangan mangsa turun kepada 8,682 orang daripada 2,058 keluarga berbanding 9,175 pagi tadi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, jumlah mangsa terkini yang direkod merangkumi 1,150 mangsa di Tanah Merah, Kuala Krai (3,094), Machang (2,284) dan Gua Musang (2,154).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus turun sedikit kepada 6,156 orang daripada 1,701 keluarga berbanding 6,194 orang daripada 1,703 keluarga pagi tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, mangsa banjir di kawasan Perak Tengah masih kekal 4,851, Kuala Kangsar (251), Hulu Perak (610), Manjung (155) dan Hilir Perak (289).

Di JOHOR, hanya terdapat 48 mangsa di Segamat.

- BERNAMA

Berita Harian X