Selasa, 11 April 2017 | 2:19pm

Mayat bayi di longgokan sampah


ANGGOTA polis memeriksa lokasi mayat bayi perempuan berkenaan ditemui di tempat pembuangan sampah di Samajaya, Kuching. - Foto ihsan Polis

KUCHING: Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan, ditemui dalam tong sampah kawasan pangsapuri di Samajaya di sini, pagi tadi.

Mayat bayi berkenaan yang diletak dalam sebuah kotak berwarna merah, ditemui seorang pekerja pencuci bangunan ketika membuang sampah kira-kira jam 10 pagi.

Wanita berkenaan segera menghubungi polis sebelum sepasukan anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dihantar ke tempat kejadian.

Sumber berkata, siasatan awal membawa kepada penahanan seorang penuntut kolej wanita berusia 23 tahun yang tinggal di kawasan berkenaan dan dipercayai ibu bayi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 309(a) Kanun Keseksaan.

Berita Harian X