Selasa, 11 April 2017 | 8:00am

BR-V hebat, bergaya, selesa dan praktikal


REKAAN luaran yang menawan.

MODEL kenderaan keluaran Honda memang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua maklum, jenama kereta berkenaan adalah antara yang menonjol dalam industri automotif global dan serantau.

Berdasarkan prestasi itu, Honda Malaysia baru-baru ini memberi kesempatan kepada BH Auto menyertai satu sesi pandu uji dari Kota Damansara ke Pulau Pinang bagi menguji model Crossover 7 tempat duduk terbaharunya, Honda BRV.

Pertama kali melihat luaran model ini, terlintas di fikiran adakah ia sesuai untuk memuatkan tujuh penumpang dewasa, apatah lagi jika perlu melalui perjalanan jarak jauh.

Ini kerana secara luarannya, model ini kelihatan agak padat, ruang tempat duduk baris ketiga kelihatan tidak sesuai untuk orang dewasa kerana jarak ruang kaki yang rapat serta pendek.

Namun apabila penulis mencuba sendiri duduk di bahagian belakang pada awal pemanduan ke Pulau Pinang, jangkaan awal itu ternyata meleset kerana BRV diibaratkan menampilkan keluasan sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dengan gaya Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).

Selesa dan dapat menikmati pemanduan jarak jauh dengan sempurna, ditambah pula dengan fungsi penghawa dingin yang turut berada di bahagian belakang, memberikan satu pengalaman yang berbeza.


KELUASAN mirip MPV dengan gaya SUV.

Kebiasaannya apabila duduk di bahagian belakang, pasti akan merasai gegaran dan hentakan yang kuat apabila melalui jalan yang tidak rata, namun dengan model ini, berlaku sebaliknya.

Terasa berada di bahagian kerusi tengah, semuanya sama tanpa hentakan atau gegaran yang kuat, cuma ruang kiri dan kanan agak sempit dan tidak membolehkan penulis untuk banyak bergerak.

Itu dari segi ruangan tempat duduk bahagian belakang, kerana sebagai pembeli sudah pasti keselesaan tempat duduk menjadi pilihan, apatah lagi bagi model sebegini yang menawarkan sehingga tujuh tempat duduk.

Jika semua tempat duduk dinaikkan, ruang barangan yang mampu ditampung oleh model ini ialah 223 liter. Namun, ruang yang sama dapat ditingkatkan kapasitinya kepada 539 liter jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan.

Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat 50:50 dengan ciri One Touch Tilt & Tumble. Bagi tempat duduk barisan ketiga pula, ia boleh dilipat 60:40.


RUANG dalaman memuatkan 7 penumpang dengan selesa.

Honda BRV memiliki dimensi 4,456 milimeter (mm) panjang, 1,735 mm lebar dan 1,666 mm tinggi dengan jarak roda 2,662 mm.

Sebagai perbandingan, kenderaan ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding Honda HRV.

Paling menarik adalah wakil media mencuba satu pertandingan untuk membandingkan ruangan dalaman BRV ini dengan menaikinya seramai mungkin.

Kami berjaya memuatkan sehingga 20 orang dewasa dengan berat purata sekitar 65 kilogram ke dalam kenderaan ini, sekali gus membuktikan ruangan dalamannya agak luas, selain berkemampuan menampung penumpang dengan berat yang berbeza.

Dari segi pemanduan pula, penulis berkesempatan memandu melalui jalan Persekutuan apabila rombongan pandu uji berhenti seketika di Plaza Tol Slim River.

Jika sebelum ini merasai pemanduan di lebuh raya dan hanya duduk di bahagian belakang tempat duduk, kali ini penulis sendiri mencuba merasai memandu BRV.


DIJANA enjin 1.5L i-VTEC.

Dari segi pemanduan dan kawalan, ternyata BRV tidak mengecewakan kerana penulis cukup selesa memandu model ini menyusuri jalan Persekutuan menghala ke Ipoh.

Jika ada kekurangan pun, ia terlalu sedikit dan semestinya masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Jika memandu lebih laju, model ini tetap dapat dikawal dengan sempurna walaupun enjinnya sedikit mengaum disebabkan ia hanya dilengkapi enjin 1.5 liter yang dilihat sedikit tidak padan dengan kemampuan sebenar yang sepatutnya memerlukan enjin lebih berkuasa.

Namun dalam segmennya, enjin 1.5L iVTEC dengan janaan kuasa 120 PS dan 145 Nm tork yang dipadankan dengan sistem transmisi CVT, BRV adalah kenderaan yang agak berkuasa.

Prestasinya menjadikan pemanduan lebih selesa kerana walaupun enjinnya sedikit mengaum tetapi mencukupi menghasilkan kuasa dalam pelbagai keadaan, termasuk selamat sewaktu memotong kenderaan lain.

Sudah tentu apabila memandu laju, aspek keselamatan kenderaan perlu diberi tumpuan agar pemanduan sentiasa selamat.


STERENG dan panel meter. - Foto Asyraf Hamzah

Berikutan itu, BRV diberi penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP bagi varian dengan ciri Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Satu lagi aspek sering menjadi tumpuan pengguna kenderaan adalah penggunaan bahan api, yang mana BRV hanya dengan satu isian penuh, ia mampu memberikan kuasa dari Kota Damansara sehingga Pulau Pinang.

Tidak keterlaluan jika penulis menyatakan penggunaan bahan api kenderaan ini menjimatkan kerana sepanjang pemanduan, beberapa kali kami berhenti termasuk memasuki bandar Ipoh dan Seberang Prai sebelum sampai ke Georgetown.

Reka bentuk luarannya turut diserikan lagi dengan kehadiran Lampu Nyalaan Siang LED (DRL) dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci.

BRV dijangka memenuhi permintaan pasaran Malaysia dalam segmen tujuh tempat duduk dengan nilai yang hebat, gaya, luas dan ciri yang praktikal.

Honda Malaysia juga menyatakan BRV adalah kenderaan yang dibangunkan khas untuk pasaran rantau ASEAN, mula diperkenalkan di Indonesia, diikuti Thailand, India, Filipina dan Malaysia.

Info

  • Varian E (RM85,800) dan V (RM92,800)
  • Dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific Co Ltd (HRAP)
  • Enjin 1.5L i-VTEC, dipadankan dengan kotak gear CVT
  • 120 hp @ 6,600 rpm dan tork 145 Nm @ 4,600 rpm
  • 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi
  • Jarak roda 2,660 mm
Berita Harian X