Ahad, 4 Januari 2015 | 11:54am

Polis siasat kes buli pelajar di Kedah


SEDUTAN klip video yang menjadi viral di laman sosial menunjukkan kes buli yang berlaku di sebuah sekolah di negeri ini. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR : Polis Kedah mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung kes buli yang berlaku di sebuah sekolah di negeri ini, yang tersebar sehingga menjadi 'viral' di laman sosial Facebook dan Youtube.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, selepas empat laporan diterima pihaknya berhubung kes itu sejak klip video berkenaan tersebar, kelmarin.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata pihaknya mendapati kes itu berlaku di sebuah sekolah rendah di Alor Setar pada September lalu, iaitu selepas kira-kira dua minggu mangsa selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Kita dapati mangsa dibuli lima pelajar dikenalinya yang juga berusia 12 tahun, namun mangsa tidak mendapat sebarang kecederaan.

"Tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu sebelum ini, sehinggalah klip video berkenaan tersebar menjadi viral melalui Facebook dan Youtube dan empat laporan diterima mengenainya sejak semalam.

"Sehubungan itu, pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata," katanya.

Sementara itu, Zamri turut menasihatkan pelajar yang menjadi mangsa buli atau mengetahui mengenai kejadian buli di sekolah, supaya segera melaporkan kepada pihak polis bagi membolehkan ia ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang.

"Polis tidak teragak-agak bertindak tegas ke atas mana-mana pelajar yang terbabit dengan kegitan buli. Justeru saya nasihatkan pelajar supaya menumpukan kepada pelajaran dan mengelak terbabit sebarang perlakuan yang berunsurkan kekerasan atau buli," katanya.

69 dibaca
Berita Harian X