Isnin, 10 April 2017 | 5:47pm

RUU 355: DAP perangkap diri sendiri


DR Kamarul Zaman Yusoff.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: DAP memerangkap diri sendiri apabila mendakwa dalam sejarah Parlimen Malaysia, Barisan Nasional (BN) mengawal usul dibentangkan di Dewan Rakyat dengan menolak usul dikemukakan pembangkang melalui persepakatan dengan Yang Dipertua Dewan.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, cuba mengelirukan rakyat selepas gagal menghalang Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Katanya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam video khas yang dikeluarkan oleh DAP bagi memburukkan pembentangan RUU 355 mendakwa RUU persendirian tidak pernah dibentangkan Ahli Parlimen pembangkang sedangkan ia pernah beberapa kali dibenarkan, termasuk oleh dua Ahli Parlimen DAP, iaitu Ngan Siong Hing (Kinta) dan Lim Kit Siang (Kota Melaka) pada 1977.

Beliau berkata, dua RUU Persendirian dibentangkan Siong Hing dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 1977, iaitu RUU untuk meminda Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan, 1967 dan RUU Persendirian untuk mewujudkan Akta Melindungi Pekerja-Pekerja dan Gaji Minimum 1977.

"RUU Persendirian yang dibentangkan oleh Kit Siang pula dibahaskan di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 1977 adalah RUU Persendirian untuk meminda Akta Biro Siasatan Negara, 1973. Perbahasan dan pengundian ke atas RUU Persendirian itu diteruskan pada 25 Oktober 1977," katanya dalam satu kenyataan media kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, kekecohan berlaku selama 35 minit pada sidang Dewan Rakyat, apabila wakil pembangkang berkeras cuba mahu menghalang Hadi membentangkan RUU 355 dengan mereka menggunakan pelbagai hujah memetik Peraturan Mesyuarat bagi menghalang pembentangan itu.

Tidak puas hati kerana gagal menghalang pembentangan, Tony Pua, dalam rakaman khas video pada hari sama, dilaporkan berkata sekarang setiap Ahli Parlimen pembangkang mempunyai hak untuk membentangkan RUU Persendirian atau usul pembangkang, tetapi mempersoalkan dalam sejarah Malaysia, tidak pernah usul berkenaan dibenar untuk dibentangkan.

Katanya, dalam demokrasi berparlimen kebiasaannya RUU Ahli Parlimen pembangkang berpeluang untuk dibentangkan, tetapi di Malaysia tidak dibenarkan. Beliau turut mengulangi dakwaan sama dalam entri Facebooknya, Khamis lalu.

Sementara itu, Kamarul Zaman yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berkata, walaupun Tony Pua dilahirkan pada 1 Ogos 1972, dan baru berusia lima tahun ketika RUU itu dibentangkan Ahli Parlimen DAP, namun agak pelik kerana sebagai Setiausaha Publisiti DAP, beliau tidak mempunyai pasukan penyelidik.

Katanya, lebih pelik lagi apabila Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP dan mengemukakan RUU Persendirian berkenaan tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan kenyataan Tony Pua.

"Lebih teruk lagi jika Kit Siang sendiri sengaja menyembunyikan fakta beliau pernah dibenar untuk membentangkan RUU Persendirian di Dewan Rakyat demi agenda politik menyekat RUU 355 agar tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

"Hakikatnya, berdasarkan sejarah Parlimen Malaysia, sudah banyak kali Usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang dibenar bukan saja untuk dibentangkan, malah untuk dibahaskan dan juga diundi," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X