Isnin, 10 April 2017 | 1:32pm

SSPN-i tabung pendidikan terbaik negara


DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah menyerahkan komputer riba kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak TInggi, Sepang, Arbain Pinni ketika majlis penyerahan sumbangan CSR PTPTN bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak TInggi, Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) terbukti pilihan tabungan terbaik terbaik di negara ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata PTPTN menetapkan 2017 sebagai 'Tahun Penabungan' bagi menggalakkan masyarakat membudayakan amalan itu, tanpa hanya bergantung kepada pinjaman.

Katanya kerajaan serius menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya menabung, malah ia turut disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, dalam pengumuman Bajet 2017.

"Dalam Bajet 2017, kerajaan memberi insentif geran sepadan secara percuma sebanyak RM50 kepada semua pelajar tahun satu sekolah bantuan penuh kerajaan, dalam bentuk deposit SSPN-i sehingga akhir tahun ini.

"Justeru, saya syorkan ibu bapa jadikan insentif ini sebagai dorongan untuk menabung dari sekarang," katanya kepada media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Khidmat Sosial Masyarakat (CSR) PTPTN bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Pengetua SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Arbain Pinni serta Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Baru Salak

Tinggi, Helmy Arshad.

Sebanyak 10 unit 'ChromeBook' bernilai RM10,000 diserahkan PTPTN melalui program CSR bagi proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT) kepada 60 Murid Berkeperluan khas (MBK) di sekolah berkenaan.

Shamsul Anuar berkata, PTPTN bukan hanya sekadar menyediakan instrumen simpanan pendidikan, malah ia turut prihatin dalam setiap program CSR bagi memastikan kebajikan pelajar diutamakan.

Beliau berkata melalui sumbangan itu, pihaknya berharap dapat memberi manfaat yang besar kepada pelajar dan pada masa sama, dapat menarik minat pelajar kepada konsep pembelajaran yang disampaikan guru di sekolah berkenaan.

"Bagi menggalakkan penabungan, PTPTN turut menawarkan Cabutan Wow! SSPN-i Plus dengan menawarkan lebih 300 hadiah menarik bernilai RM1.5 juta untuk dimenangi orang ramai menerusi dua katogeri cabutan iaitu Cabutan Tahunan dan Cabutan Suku Tahunan, yang menawarkan hadiah utama sebuah Proton Perdana serta kedua, Toyota Vios.

Berita Harian X