Isnin, 10 April 2017 | 12:29pm

OCBC perkenal aplikasi pengenalan biometrik

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd memperkenalkan aplikasi mudah alih perbankan perniagaan perintis, yang menggunakan pengenalan biometrik.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, aplikasi perbankan mudah alih perniagaannya itu membolehkan pengguna melaksanakan pelbagai transaksi, hanya dengan satu sentuhan jari.

"Ini termasuk menyemak baki akaun dan masa deposit, selain menyemak status kemasukan dan pengeluaran dana.

"Buat masa ini, aplikasi perbankan OCBC itu hanya tersedia dalam platform Apple Store, manakala ciri pengesahan biometrik untuk platform Play Store akan diperkenalkan tidak lama lagi," katanya.

Aplikasi yang mengetengahkan ciri OCBC OneTouch, memanfaatkan teknologi Sentuh ID Apple, yang membolehkan pengguna Malaysia yang berdaftar dengan portal Internet bank, Velocity@ocbc, mengakses baki akaun dan melaksanakan transaksi dengan perakuan cap jari.

OCBC OneTouch tersedia bagi Apple iPhones yang dibolehkan Touch ID, seperti iPhone 5s dan model terkini, yang memiliki sekurang-kurangnya sistem operasi iOS 8. - BERNAMA

Berita Harian X