Isnin, 10 April 2017 | 8:00am

Bilik pameran rasmi Toyota di Segambut

DARI kiri; Ravindran, Pengerusi UMW Toyota Motor, William Chin dan Tan Poh Lee serta Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengimport dan pengedar tunggal kenderaan Toyota di Malaysia, membuka bilik pameran rasmi di Segambut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bilik pameran itu terletak di Pusat Komersial Jalan Kucing, Jalan Kepayang off Jalan Kucing dan ia menyediakan khidmat jualan kenderaan baharu Toyota.

Pada masa sama, premis 2S (servis dan alat ganti) di Kawasan Perusahaan Segambut sedang diubah suai bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi khidmat selepas jualan.

Ia dilihat perlu memandangkan semakin banyak kenderaan Toyota yang mendapatkan perkhidmatan di situ sejak ia ditubuhkan beberapa tahun lalu.

Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy, berkata peningkatan kenderaan Toyota memerlukan pihaknya mengembangkan perkhidmatan.

"Menerusi kajian yang dilakukan, outlet 2S sedia ada di Segambut memerlukan kapasiti tambahan bagi memenuhi pertambahan jumlah pelanggan.

"Oleh itu, kami melakukan pembesaran ke atas outlet itu untuk tujuan khidmat selepas jualan dan dalam masa yang sama bilik pameran baharu ini akan memenuhi keperluan pelanggan yang mahu melihat dan membeli kenderaan Toyota," katanya menerusi kenyataan.

Bilik pameran itu dibangunkan pada kos sekitar RM1 juta dan ia menerapkan konsep 'Toyota's Next Generation Showroom'.

Pelanggan akan menikmati persekitaran yang lebih ceria dan mesra pelanggan.

Ia juga akan mempamerkan sehingga tiga model kenderaan dalam satu masa dengan ruang penghantaran berbumbung.

Terdapat juga ruang menunggu yang selesa bagi pelanggan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah sambungan tanpa wayar percuma.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi UMTW, Akio Takeyama berkata konsep 'Toyota's Next Generation Showroom' bertujuan untuk mereka semula cara pembinaan bilik pameran dengan pelanggan menjadi keutamaan.

Pada masa ini, Toyota mempunyai hampir 100 outlet jualan dan perkhidmatan di Semenanjung Malaysia, Malaysia Timur, Labuan dan Langkawi.

Memandangkan pengguna Toyota semakin meningkat dalam tahun mendatang, rangkaian berkenaan akan terus ditingkatkan dan dikembangkan bagi memastikan syarikat itu menjaga kebajikan pelanggannya.

Berita Harian X