Ahad, 4 Januari 2015 | 8:41am

Natijah mengubah alam melampaui keupayaan

PADA awal November 2014, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan bencana banjir lumpur di Cameron Highlands. Lima terkorban dan kerosakan besar petempatan berlaku sepanjang pinggir sungai. Ramai mengatakan ini adalah peristiwa banjir terbesar pernah berlaku di kawasan ini.

Hujan lebat luar biasa sering dijadikan alasan bencana mengancam manusia. Betulkah curahan hujan sebanyak itu tidak pernah berlaku di Cameron Highlands sebelum ini?

Cerapan lanjut mendapati, kawasan Cameron Highlands sudah dibuka dan diteroka secara meluas untuk tujuan pertanian. Setengahnya terokaan haram tanpa mendapat restu kerajaan. Lebih buruk lagi, kawasan cerun bukit ditarah secara berleluasa tanpa menghiraukan kerosakan permukaan tanah.

Akibatnya, hakisan dan tanah runtuh berlaku dengan sangat aktif, dan perlodakan serta pencetekan sungai dan tasik menjadi serius. Dalam keadaan begini, sungai tidak dapat berfungsi sebagai sistem laluan air hujan dari kawasan tadahan ke muara dan lautan. Setiap kali hujan lebat banjir pasti berlaku.

Pada Disember pula, banjir mulai melanda Pantai Timur. Banjir musim tengkujuh dianggap peristiwa normal kepada kebanyakan komuniti di sana. Mereka boleh menduga bila akan berlaku banjir dan sejauh mana impaknya kepada kehidupan harian masyarakat.

Tanpa diduga, banjir gelombang pertama yang melanda Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dianggap tidak normal. Banyak kawasan yang lazimnya tidak mengalami banjir, kini ditenggelami air. Paras banjir juga dikatakan lebih tinggi daripada normal.

Banjir besar gelombang kedua di seluruh negara, khususnya di Kelantan, Pahang dan Terengganu di luar dugaan penduduk, dikatakan banjir terburuk pernah melanda negara. Kebanyakan rumah di pesisiran Sungai Kelantan ditenggelami air. Bukan sahaja bangunan setingkat, malah ada bangunan dua dan tiga tingkat juga turut ditenggelami bah. Ada kawasan berbukit yang sering menjadi tempat pemindahan mangsa banjir, kini turut ditenggelami air. Banjir kali ini sangat luar biasa.

Manusia mengubah alam

Saya amat bersimpati dengan mangsa banjir dan sentiasa mendoakan keselamatan mereka. Soalnya, apakah kita sanggup membiarkan situasi seperti ini berlaku tahun demi tahun, dan impaknya terus meningkat? Apa yang dapat kita lakukan untuk mengawal peristiwa banjir dan meminimumkan impaknya kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta? Kita perlu beri jawapan segera kepada persoalan ini.

Ada yang menyatakan, fenomena pemanasan global mengubah corak cuaca - hujan menjadi ekstrem - sehingga impak banjir meningkat. Ahli meteorologi perlu memberikan fakta saintifik jitu untuk menyokong kenyataan ini dan turut memberikan cadangan adaptasi yang relevan.

Saya percaya, banjir yang luar biasa banyak berkaitan dengan kerosakan atau penerokaan alam sekitar yang juga luar biasa. Apabila hutan ditebang untuk pembalakan dan pembukaan kawasan baharu, daya tampungan hutan untuk menyimpan air hujan berkurangan, akibatnya aliran air di permukaan menjadi lebih pantas dan pengumpulan air hujan ke dalam sungai juga menjadi sangat pantas. Oleh itu, setiap kali hujan lebat, paras air sungai akan naik dengan pantas, dan banjir luar biasa mudah terjadi.

Pembukaan hutan untuk kawasan pertanian mengubah corak guna tanah sehingga mengganggu proses tabii hakisan tanah. Kadar hakisan meningkat dan longgokan kerikil, pasir dan lodak di dasar sungai turut meningkat. Aras dasar sungai menjadi semakin tinggi dan sungai menjadi semakin cetek. Dalam keadaan begini, sungai kehilangan daya menampung untuk mengalirkan air hujan, sehingga dalam keadaan hujan biasa, banjir boleh berlaku. Kawasan berisiko banjir akan semakin meluas dan ketinggian paras banjir juga meningkat.

Fahami keupayaan alam sekitar

Keadaan menjadi semakin buruk apabila banyak kawasan petempatan baharu dibina. Permukaan tanah ditutupi bangunan dan diturap untuk jalan. Perparitan disediakan untuk menyalurkan air hujan ke sungai berhampiran dengan cekap dan pantas. Keadaan begini juga menyebabkan setiap kali musim hujan, penumpuan air ke sungai menjadi pantas sehingga menggugat keupayaan sistem sungai mengalirkan air ke hilir. Apabila sungai banjir, kawasan petempatan dipinggirnya turut banjir.

Saya lukiskan senario di atas bukan bererti kita tidak boleh menyentuh atau menggunakan alam sekitar untuk pembangunan. Sebaliknya, kita perlu memahami keupayaan alam sekitar mengekalkan perkhidmatannya sambil menerima pembangunan. Jika keupayaan tampungannya dilampaui, bencana tanah runtuh dan banjir pasti berlaku. Banjir yang luar biasa ini adalah amaran bahawa kita sudah ubah alam sekitar di luar batas keupayaannya untuk kesejahteraan masyarakat. Manusia memerlukan alam sekitar, bukan sebaliknya.

Penulis ialah Prof Emeritus, Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu

16 dibaca
Berita Harian X